Kumpulan hak asasi persoal Singapura laksana juga hukuman mati Nagaenthran


NAGAENTHRAN Dharmalingam, rakyat Malaysia cacat mental yang berdepan hukuman mati di Singapura kerana mengedar dadah, tidak mendapat sebarang penilaian psikiatri bebas, kata pertubuhan hak asasi manusia dalam percubaan terakhir untuk menghentikan hukuman matinya minggu depan.

Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN) dan Transformative Justice Collective (TJC) dalam satu kenyataan bersama menuntut republik itu menghentikan hukuman mati, yang dijadualkan Rabu depan, dan mematuhi undang-undang hak asasi manusia antarabangsa mengenai hukuman mati terhadap orang kurang upaya intelektual atau psikososial.

“Singapura telah menolak isu psikosis hanya berdasarkan kenyataan dan maklum balas daripada Perkhidmatan Penjara Singapura semata-mata.

“Untuk memberikan Nagaenthran penilaian psikiatri bebas pada peringkat ini tidak akan menimbulkan prejudis kepada Republik; sebaliknya ia akan menunjukkan Singapura mengambil tanggungjawabnya di bawah Perkara 12 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Kurang Upaya, iaitu mereka ‘mengambil langkah sesuai menyediakan akses buat orang kurang upaya mendapatkan sokongan yang mungkin mereka perlukan dalam melaksanakan kapasiti undang-undang mereka,” kata kumpulan itu.

Dilaporkan hari ini Nagaenthran akan dihukum mati Rabu depan, menurut peguamnya M. Ravi.

Penasihat Lawyers for Liberty (LFL) N.Surendran juga mengesahkan perkara itu kepada The Malaysian Insight.

Nagaenthran, 34, yang mempunyai IQ 69 lebih rendah daripada skor purata yang layak untuk hilang upaya intelek.

Pada 29 Mac Nagaenthran gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap hukuman mati apabila kesnya ditolak oleh Mahkamah Rayuan Singapura.

Pada 31 Mac - selepas perbicaraan mahkamah terakhir Nagaenthran - pejabat Presiden Singapura berkata ia tidak mengubah kedudukannya dan mengekalkan hukuman mati.

ADPAN dan TJC berkata jangka masa di mana cabaran undang-undang Nagaenthran dan rayuan belas kasihan yang ditolak menimbulkan persoalan besar sama ada proses pengampunan yang digariskan di bawah Perkara 22P(2) Perlembagaan Singapura telah dipatuhi.

“Di bawah Perkara 22P Perlembagaan Singapura, proses pengampunan bukanlah kuasa budi bicara yang diberikan kepada Presiden, tetapi proses berlapis di mana hakim bicara, hakim rayuan, dan Peguam Negara memberikan pendapat dan maklum balas masing-masing kepada Kabinet sebelum nasihat dibuat kepada Presiden.

“Sekiranya proses itu dipatuhi, timbul persoalan apakah pendapat yang diberikan oleh semua pihak yang berkepentingan yang terlibat, khususnya berhubung maklumat yang timbul semasa cabaran undang-undang Nagaenthran berhubung kemungkinan dia mengalami masalah kesihatan mental yang merosot termasuk psikosis semasa penahanannya,” kata kumpulan itu.

Nagaenthran ditangkap pada 2009 dan dijatuhi hukuman mati pada 2011 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah kerana mengimport 42.7g diamorphine secara haram.

Dia ditangkap dengan seikat heroin yang diikat pada pahanya ketika memasuki Republik itu dari Malaysia melalui pusat pemeriksaan Woodlands pada April 2009.

Dia pada asalnya dijadualkan dihukum gantung pada November tetapi keputusan itu mendapat kritikan berikutan tahap IQnya dan peguamnya mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Ravi dalam hantaran di Linkedlnnya hari ini berkata Singapura “tidak akan pulih dari kehinaan yang akan dihadapinya di peringkat antarabangsa kerana menggantung seseorang yang kurap upaya dari segi intelek”.

“Semuanya dari awal tidak betul berkenaan kes ini. Malah pakar psikiatri kerajaan pada perbicaraan itu mengakui Nagaenthran mengalami kelainan minda,” katanya.

Pada November Yang di-Pertuan Agong menulis surat kepada presiden Singapura memohon pengampunan bagi Naagenthran. 

Pada bulan yang sama penangguhan hukuman mati Nagaenthran dilanjutkan selepas dia disahkan positif Covid-19.

Pada 29 Mac Nagaenthran gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap hukuman mati apabila kesnya ditolak oleh Mahkamah Rayuan Singapura.

Mahkamah memutuskan undang-undang antarabangsa mengenai pelaksanaan hukuman mati ke atas orang kurang upaya tidak terpakai. – 20 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen