JURUAUDIT 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terdahulu, KPMG berkeras mahu bertemu dengan perdana menteri ketika itu Najib Razak pada 2013 berhubung penyata kewangan firma pelaburan negara itu kerana bimbang dengan pelaburan luar negara dalam sebuah syarikat luar pesisir Brazen Sky Ltd, saksi pendakwaan memberitahu mahkmamah dalam perbicaraan 1MDB hari ini.
Bekas ketua pegawai kewangan (CFO) 1MDB Azmi Tahir berkata rakan kongsi KPMG Ahmad Nasri Abdul Wahab membuat permintaan untuk bertemu Najib yang selain menjadi perdana menteri ketika itu juga merupakan menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
KPMG mahu bertemu Najib pada November 2013 berhubung pelaburan AS$2.3 bilion oleh 1MDB di luar negara, kata Ahmad Nasri yang merupakan saksi ke-12 pihak pendakwaan semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohammed di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Firma audit itu mempunyai kebimbangan mengenai pelaburan luar negara walaupun selepas maklumat dan dokumen disediakan oleh pengurusan 1MDB, kata Azmi, 48.
Menurut Azmi, Ahmad Nazri dari KMPG yang menelefonnya berkata semasa panggilan KPMG hanya akan menandatangani penyata kewangan 2013 jika mereka mendapat tahu daripada Najib sendiri tentang pelaburan dalam Brazen Sky Ltd, sebuah entiti diperbadankan British Virgin Islands (BVI).
Brazen Sky kini dikenali sebagai syarikat luar pesisir yang dikaitkan dengan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho juga dikenali sebagai Jho Low.
Wan Aizuddin: Apakah reaksi anda apabila mendengar permintaan itu?
Azmi: Saya terkejut. Saya tanya kenapa mereka nak jumpa perdana menteri? Mereka berkata mereka mahu mendengar daripada pemegang saham bahawa semuanya baik-baik saja. Mereka berkata jika okey, maka mereka akan menandatanganinya (penyata kewangan 1MDB).
Azmi merujuk kepada penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 31 Mac 2013 yang KPMG enggan menandatanganinya kerana tidak berpuas hati dengan maklumat yang diberikan.
Penyata kewangan tahunan biasanya akan ditandatangani oleh juruauditnya dalam tempoh enam bulan atau menjelang September 2013 tetapi ini ditangguhkan kerana firma audit itu masih mencari maklumat daripada 1MDB mengenai pelaburan mereka yang dikatakan dalam Brazen Sky.
Azmi hari ini berkata pertemuan antara KPMG dan Najib berlangsung pada 15 Disember 2013 di kediamannya di Langgak Duta dan Low turut hadir. – 20 April, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen