Umno Kelantan elak guris hati pemimpin PAS, kata Ahmad Jazlan


Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub mengingatkan kepimpinan parti tidak mengkritik dan bermulut jahat terhadap pemimpin PAS. – Gambar The Malaysian Insight, 20 April, 2022.

UMNO Kelantan menggesa barisan pemimpinya mengelak daripada mengguris hati pemimpin PAS dalam kempen pilihan raya apabila kedua-dua parti bertembung semula selepas ini.

Laporan Astro Awani menyebut, Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub berkata pemimpin parti tidak wajar mengkritik dan bermulut jahat ke atas pemimpin lawannya itu.

“... Selepas ini, apabila kita memasuki endemik dan ada ceramah, jangan guna bahasa kurang sopan dan tidak elok.

“Sebaliknya, gunalah bahasa yang elok-elok. Tak payah cakap keburukan lawan kita. Cakap apa yang kita nak buat.

“Kerana rakyat sudah jemu dengan ceramah atau siaran media sosial yang menceritakan keburukan lawan,” katanya pengerusi Felcra Berhad itu seperti dipetik portal tersebut.

Kempen itu sebaliknya menerangkan kegagalan PAS mentadbir Kelantan selama lebih 30 tahun berkait isu seperti bekalan air, kebersihan dan peluang pekerjaan, katanya.

Usaha tersebut sudahpun dimulakan melalui ceramah kelompok kecil bagi menerangkan usaha Umno bertanding tanpa kerjasama PAS dan Bersatu, katanya.

“Kita tidak menyerang individu atau bermulut celupar mengkritik PAS Kelantan dengan perkataan kurang sopan.

“Sebaliknya, pendekatan kempen kita lebih kepada memberi maklumat kepada rakyat tentang kegagalan pentadbiran PAS di Kelantan selama lebih 30 tahun,” tambahnya.

Beliau dilaporkan berkata demikian ketika diminta mengulas corak kempen Umno Kelantan dalam usaha memenangi kesemua kerusi negeri dalam pilihan raya umum ke-15.

Kedua-dua parti akan kembali berseteru ekoran tindakan Umno Kelantan memutuskan hubungan dengan PAS dalam Muafakat Nasional.

Umno Kelantan bagaimanapun terus menyokong pentadbiran PAS negeri sehingga pilihan raya umum diadakan. – 20 April, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen