PENINGKATAN penggunaan air dan paip lama pecah menjadi punca penduduk kampung di Bedong, Kedah tidak mendapat bekalan air sejak tiga tahun lalu, lapor portal berita Free Malaysia Today.
Penduduk Kampung Sungkap Para berkata mereka berhenti menerima bekalan air stabil pada 2019.
“Peningkatan permintaan kawasan perumahan dan industri berhampiran juga menyebabkan loji air tidak dapat memenuhi permintaan,” kata Syarikat Air Darul Aman (Sada).
“Masalah tekanan air rendah juga disebabkan geografi kampung, kerana ia terletak di kawasan lebih tinggi dan di hujung sistem (bekalan) air.”
Sada berkata ia kini mengagihkan semula air ke kampung itu dan akan terus menghantar lori tangki air.
Loji rawatannya di Bukit Selambau juga sedang diperluaskan untuk menempatkan pam baharu bagi membekalkan air ke kampung itu, katanya.
Ia dijangka siap tahun depan.
“Kami serius menangani masalah penduduk kampung dan sedang berusaha untuk memastikan masalah itu tidak berulang.”
Nasib penduduk kampung didedahkan apabila Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mengecam kerajaan Kedah pimpinan PAS kerana kegagalannya menyelesaikan masalah air yang berlarutan.
Ramasamy berkata penduduk Kampung Sungkap Para terus menerima bil air walaupun tidak mempunyai bekalan tetap.
Penduduk kampung yang bercakap dengan The Malaysian Insight berkata perkara itu masih belum diselesaikan walaupun banyak laporan dibuat. – 20 April, 2022.
Komen