Realiti kes Bella


ZF Zamir

MALAM tadi seorang teman bertanya di WhatsApp: “Zamir, kau tak fight ke pasal Bella?” 

Saya tahu soalan Musa Nuwayri ini soalan yang lurus dan ikhlas, bukan soalan untuk tujuan provokasi. Saya jawab ringkas: “Saya ada pendapat saya sendiri dalam kes ini.” 

Saya juga tahu ada ramai kawan yang mahu tahu pendirian saya dalam kes ini, tetapi mereka diamkan sahaja.

Pendapat saya dalam kes Bella ini, juga seperti yang pernah saya terangkan kepada sahabat seperjuangan Fdaus Ahmad, adalah saya berpada untuk memberi sebarang komen kerana tidak mempunyai kepastian tentang apakah sebenarnya yang berlaku.

Berpada dalam memberi komentar itu saya sandarkan terhadap dua keadilan awal iaitu, pertama, akses kecemasan kepada kesakitan dan kesengsaraan yang beliau hadapi itu diberikan di hospital dan rawatan lanjut oleh doktor sehingga kini.

Kedua, pendakwaan untuk mendapatkan keadilan terhadap siapa yang melakukannya sedang dibicarakan di mahkamah. 

Saya fikir semua orang mahukan yang terbaik untuk Bella. Untuk menghukum pelaku yang menzalimi anak syurga ini kita tidak punyai pilihan lain – selain mempercayai mahkamah akan menetapkan perbicaraan yang adil buat beliau. 

Keadilan

Malah saya juga percaya pihak pendakwaan telah bersedia untuk menghadapi 1,000 peguam pembelaan pun.

Mahkamah kita berjalan dan berdiri dengan bukti dan neraca yang saintifik. Bukan cakap-cakap kosong yang tak bernilai seperti ulasan di Facebook atau pendapat di Tik Tok.

Memang kita geram dengan apa yang berlaku terhadap Bella. Melihat kulitnya tersiat dengan nanah dan luka yang dalam, jiwa kita semua rentung terbakar dengan kemarahan.

Tetapi adakah sesuai kemarahan itu menjadi asbab untuk kita membina mahkamah di media sosial dan menjadikan persepsi sebagai beban pembuktian untuk menjatuhkan hukuman di Twitter?

Kita sendiri (terutamanya saya) tidak pasti dan tidak tahu langsung apakah yang sebenarnya berlaku. Siapakah pelakunya, di mana semua penderaan itu berlaku dan mengapa ianya boleh berlaku dengan begitu dahsyat sekali.

Wacana lebih besar

Dari mahkamah media sosial ini kemudiannya masyarakat warga internet melangkah dengan lebih jauh terutamanya dalam menerapkan “cancel culture”, satu daripada sekian banyaknya budaya yang lahir dengan berkembangnya kepesatan industri 4.0 di seluruh dunia. 

Pempengaruh, orang persendirian dan pemilik laman media sosial semuanya bergabung untuk “cancel” sekian individu yang dilihat pada pandangan mata mereka tidak selari dengan perjuangan mereka, dalam konteks ini kononnya yang berpihak selain daripada adik Bella.

Sedangkan pada masa sama mahkamah yang mulia sedang menghakimi perbicaraan tersebut dengan penuh teliti. 

Jadi atas alasan apa pula untuk kita marah-marah dan “cancel” orang sana sini?

Malangnya saya tidak nampak semua marah-marah ini sebenarnya membela adik Bella kita. 

Kerana jika benar kita sayang anak syurga ini dan anak istimewa yang lainnya, kemarahan kita yang agung itu seharusnya kita salurkan untuk wacana yang lebih berhak, misalnya perihal masa depan.

Bagaimana untuk mengelakkan insiden seperti ini tidak berulang di masa depan? Apakah yang akan berlaku kepada adik Bella nanti? Di manakah beliau akan ditempatkan? Bagaimana dengan pelajaran beliau? Apakah masa depan anak ini nanti – setelah perbicaraan yang panjang ini selesai? 

Inilah wacana yang lebih penting menurut saya. 

Anak istimewa

Di negara maju, wacana anak istimewa yang menghidap Down Syndrome seperti Bella dan beberapa keistimewaan anak yang lain dibicarakan lebih jauh daripada sekadar soal syurga-neraka mahupun pahala dan ganjaran akhirat untuk ibu bapa mahupun penjaga mereka.

Di negara maju, wacana anak istimewa ini telah melewati isu praktikaliti untuk menyediakan anak-anak ini agar mampu menguruskan diri sendiri dan berdaya saing ketika mereka dewasa nanti.

Di United Kingdom misalnya terdapat sebuah dokumen untuk anak istimewa iaitu EHCP (Education & Health Care Plan) yang bermaksud Pelan Pendidikan dan Penjagaan Kesihatan.

Dokumen ini menetapkan keperluan pendidikan, penjagaan kesihatan dan penjagaan sosial anak berkeperluan khas yang memerlukan sokongan tambahan di sekolah dan di luar sekolah.  

Melalui EHCP, setiap tahun sebuah penilaian tahunan akan dijalankan untuk meneliti perkembangan anak-anak ini. Mesyuarat dijalankan dengan kerjasama semua agensi luar yang terlibat dengan anak ini termasuk guru sekolah dan anak yang terlibat. 

Tujuan penilaian dilaksanakan adalah untuk meninjau kemajuan menuju hasil dalam EHCP, membincangkan sebarang keperluan baru yang mungkin diperlukan serta untuk memberi peluang kepada semua orang yang terlibat untuk berkongsi pandangan mereka untuk membantu perkembangan anak tersebut.

Dokumen ini juga menetapkan anak-anak dengan EHCP berhak mendapat sokongan “one to one” di sekolah walaupun tidak semestinya sepenuh masa dan akan mempunyai agensi luar yang terlibat dalam sokongan mereka seperti ahli fisioterapi, pakar tingkah laku (behavioral experts) atau guru gangguan deria (sensory impairment teachers).

Di Malaysia kita belum mempunyai polisi seperti ini untuk anak-anak yang kita perjuangkan ini.

Kita mungkin telah mengorak langkah pertama dengan memperkenalkan Zero Reject Policy di sekolah sebelum ini, tetapi sudah sampai masanya untuk pembuat polisi dan kementerian berwajib memikirkan dengan serius keperluan pelan seperti EHCP ini. 

Melalui pelan seperti ini, semua pihak sama ada ibu bapa mahupun penjaga, pihak kerajaan melalui kementerian berwajib mahupun masyarakat sivil boleh bergabung tenaga untuk membantu anak-anak istimewa kita menyediakan diri mereka terutamanya untuk mengurus diri dan berdikari di masa depan. 

Masa depan Bella 

Hari ini, anak-anak Cerebral Palsy (CP) di Malaysia tidak diterima masuk ke sekolah kerana dikategorikan sebagai “tidak mampu mengurus diri sendiri”.

Sekian ramai anak-anak CP ini terlantar hanya di rumah sehingga dewasa kerana tidak mempunyai tujuan sedangkan di negara luar, kehidupan mereka boleh diperbaiki melalui pelbagai jenis terapi bahkan ada anak CP yang kini mampu mengurus diri mereka sendiri.

Kewujudan pelan ini juga seterusnya penting untuk menyediakan lebih ramai pakar dan pembantu yang akan menjadi sistem sokongan kepada semua keperluan anak istimewa ini untuk 10 hingga 30 tahun ke hadapan.

Saya lebih rela menumpahkan lebih banyak penelitian terhadap perkara seperti ini kerana apa yang berlaku sudah pun berlaku.

Kita semua kini bertanggungjawab penuh untuk memastikan ianya tidak lagi berlaku di masa depan. Kegagalan kita mempersiapkan ini akan membuka ruang untuk lebih ramai “Bella” lagi di masa hadapan. 

Hanya melalui perubahan polisi yang menyokong penjagaan kesihatan dan pendidikan anak-anak istimewa ini di masa depan dapat menjamin keperluan mereka dipenuhi.

Pada mata saya, masa depan Bella yang kita semua kasihi ini bergantung penuh kepada kemahuan politik untuk mengubah semua cita dan angan-angan ini menjadi realiti. 

Kerana kehadiran Bella bukan ujian buat pendera dan individu yang menzaliminya selama ini; bahkan adalah ujian berat kepada kita semua sebagai masyarakat dan sebuah peringatan keras kepada pemerintah yang lalai. – 20 April, 2022.

* ZF Zamir ialah penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN) dan The Wakaf Buku (TWB). Sebelum ini juga beliau mengetuai badan penerbitan Thukul Cetak sehingga 2017 sebelum meletakkan jawatan sebagai CEO untuk meneruskan projek terbaru beliau iaitu Akademi Thukul.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen