TMJ gesa undang-undang lebih keras ke atas rumah kebajikan kanak-kanak


Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut menggesa jabatan kebajikan mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada di Johor. – Gambar Facebook Tunku Mahkota Johor, 19 April, 2022.

PINDAAN terhadap undang-undang perlindungan kanak-kanak diperlukan untuk mencegah kes penderaan kanak-kanak dan mengawal selia rumah kebajikan golongan itu, kata Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini.

Tunku Ismail mengulas kes Bella, seorang remaja Sindrom Down, yang didakwa didera oleh penjaganya Siti Bainun yang mengusahakan rumah kebajikan Rumah Bonda.

“Penambahbaikan undang-undang semasa, seperti Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dilakukan segera.

“Ia harus merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan, untuk memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam,” kata Tunku Mahkota dalam satu kenyataan di Facebook.

Kenyataan beliau dibuat selepas pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun, wakil Unicef ke Malaysia Amanda Bissex dan pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Khairin-Nisa Ismail di Kelab Polo Diraja Johor.

Tunku Ismail turut menggesa jabatan kebajikan mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada di Johor dan menutup yang tidak berdaftar atau beroperasi secara haram.

“Tindakan undang-undang juga harus diambil terhadap pengusaha atau pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram,” katanya.

Beliau turut meminta supaya satu kajian dibuat di negeri itu bagi menilai keadaan taman asuhan kanak-kanak dengan garis panduan daripada Unicef ​​dan agensi bebas lain.

“Hasil kajian ini akan didedahkan kepada umum. Saya akan memastikan cadangan penambahbaikan ini diambil serius dan dilaksanakan dengan segera.

“Saya ingin menegaskan kebajikan kanak-kanak, terutamanya yang berada di rumah perlindungan hendaklah sentiasa dilindungi dan dijaga dengan baik.”

Siti Bainun, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan dan mendera Bella.

Dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan mendera Bella, yang mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Siti Bainun didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda RM50,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan perbicaraan kini sedang dijalankan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – 19 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen