PENGOPERASIAN sekolah secara bersemuka tanpa penggiliran di Johor bermula Ahad lalu berjalan lancar.
Pengerusi jawatankuasa pendidikan, penerangan dan komunikasi negeri Norlizah Noh berkata ia berdasarkan maklum balas pihak sekolah dan ibu bapa.
“Dengan prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan, Insya-Allah kita akan hadapinya dengan sebaik-baiknya dan pihak sekolah disarankan mengawal dan mengambil kira tahap keselamatan dan kesihatan pelajar itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pengedaran bubur lambuk secara pandu lalu oleh Jabatan Penyiaran Negeri Johor, JohorFM di perkarangan RTM, Johor Bahru hari ini.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 8,000 bungkus bubur lambuk diedarkan secara percuma kepada orang awam membabitkan kos kira-kira RM15,000 yang turut membabitkan penajaan dari badan korporat negeri itu.
Mengulas mengenai kadar bilangan pelajar yang mengambil vaksin masih rendah, beliau berkata, pihak Kementerian Kesihatan akan menghubungi sekolah mengenai perkara itu.
Pada Ahad lalu, seramai 130,177 pelajar dari Kumpulan A membabitkan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor memulakan sesi persekolahan secara bersemuka tanpa menggunakan sistem penggiliran, manakala negeri Kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, bermula semalam membabitkan 416,000 pelajar. – Bernama, 19 April, 2022.
Komen