KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyalurkan peruntukan sebanyak RM9.5 juta kepada 150 koperasi yang terjejas akibat Covid-19 tahun ini.
Menterinya Noh Omar berkata bantuan itu disalurkan menerusi program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (Transfer) bagi membantu merancakkan kembali aktiviti institusi berkenaan dalam pasca Covid-19.
Beliau berkata, di bawah program berkenaan, bantuan sehingga RM100,000 disediakan dalam bentuk geran untuk satu-satu koperasi kembali aktif melaksanakan pelbagai aktiviti bagi manfaat ahli.
“Program ini dilancarkan tahun lalu bersama tiga program pemulihan Covid-19 yang lain di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan diharap dapat membantu menggerakkan kembali koperasi di Malaysia.
“Negeri tertinggi yang terima bantuan ini adalah Selangor dengan 19 koperasi, Perak (18) dan Terengganu (16),” katanya selepas melawat kilang pelet makanan ternakan KPFB Bersepadu Sdn Bhd di Kuala Nerus, Terengganu hari ini.
Kilang makanan itu milik penuh Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Berhad yang mula beroperasi pada Mac 2020.
Selain itu, Noh berkata, kementeriannnya juga menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.85 juta kepada 235 koperasi di seluruh negara bagi pelaksanaan program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) tahun ini.
“Untuk bantuan bencana pula seperti banjir dan sebagainya, kita sudah agihkan sumbangan berjumlah RM746,000 kepada 37 koperasi yang terjejas di tujuh negeri tahun ini,” katanya. – Bernama, 19 April, 2022.
Komen