Jempol dinaik taraf sebagai perbandaran


Peta daerah Jempol yang kini dinaik taraf kepada perbandaran. – Gambar Wikipedia, 19 April, 2022.

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) 2022 bagi menaik taraf dan menukar nama Majlis Daerah Jempol (MDJL) sebagai MPJL.

Usul itu dicadangkan Menteri Besar Aminuddin Harun dan diluluskan Yang Dipertua DUN Zulkefly Mohamad Omar selepas mendapat sokongan sebulat suara ahli dewan.

Enakmen itu mula berkuat kuasa pada 3 Januari 2018.

Terdahulu, Mohamad Hasan (BN-Rantau) berkata penarafan perbandaran itu dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kepada penduduk selain memerlukan kerjasama kerajaan negeri dalam menyelesaikan permasalahan dihadapi rakyat di daerah itu.

“Bila sudah dinaik taraf menjadi perbandaran, tahap perkhidmatan kepada rakyat dapat ditingkatkan, terutama dalam aspek pelupusan sisa pepejal kerana negeri ini dinobatkan sebagai Negeri Bahagia,” katanya ketika membahaskan RUU pada persidangan DUN di Seremban hari ini.

Sementara itu, L Manickam (BN-Jeram Padang) berkata, kerajaan negeri juga perlu memastikan pembangunan lebih sistematik di Jempol dan sentiasa berusaha memajukan tanah di daerah itu supaya menjadi lebih pesat.

Shamsulkahar Mohd Deli (BN-Serting) pula menyifatkan penarafan itu memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat di Negeri Sembilan sekali gus menarik pelabur ke daerah itu. – Bernama, 19 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen