Anak Zahid nafi lindungi Siti Bainun


Anak perempuan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Nurul Hidayah hari ini menafikan dakwaan keluarganya ada kena mengena dengan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun yang didakwa di mahkamah atas petuduhan mendera kanak-kanak sindrom down Bella. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2022.

ANAK perempuan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Nurul Hidayah mendakwa keluarganya tidak ada kena mengena dengan pengasas Rumah Bonda (RB) Siti Bainun Ahd Razali yang berhadapan pertuduhan mendera kanak-kanak sindrom down yang dikenali sebagai Bella.

Nurul Hidayah berkata beliau tidak lagi mempunyai hubungan dengan Siti Bainun walaupun mereka pernah bertemu sebelum ini.

“Benar kami pernah kenal dan rapat. Sebagai seorang yang pernah rapat saya merasakan dikhianati kerana selama ini OKT (Orang Kena Tuduh – Siti Bainun) yang saya anggap sebagai insan yang suka membantu orang lain sebenarnya mempunyai satu lagi personaliti yang tidak terbayang dek akal saya,” kata anak ahli Parlimen Bagan Datuk itu melalui satu hantaran di Instagram.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam satu lagi hantaran di Facebook Nurul Hidayah menolak tuduhan Zahid Hamidi telah menyalurkan sumbangan kepada Rumah Bonda.

“Keluarga saya atau secara khususnya abah saya dituduh menyalurkan dana di RB. Saya kira tuduhan itu tidak adil kerana RB ditubuhkan oleh OKT sendiri dan sesiapa sahaja boleh menyalurkan sumbangan kepada RB sebagai infak kepada sebuah rumah kebajikan,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan beberapa pengguna media sosial yang mengatakan nama Rumah Bonda dikaitkan dengan ibunya.

Siti Bainun dikecam teruk oleh pengguna media sosial yang turut menggesa keadilan buat Bella sehingga menjadi trend dengan tanda pagar #justiceforbella.

Nurul Hhidayah berkata penghuni Rumah Bonda menggelar Siti Bainun “bonda” yang bermaksud ibu.

Beliau turut berkata ada pihak menggunakan isu yang sedang berlaku untuk memburukkan bapanya.

Pada Ahad, Zahid menafikan dakwaan beliau melindungi Siti Bainun.

“Saya berasa kesal apabila diberitahu tiba-tiba ada pihak cuba mengaitkan saya dengan kes tersebut.

“Menuduh saya cuba melindungi tertuduh dengan mengaitkan tertuduh memiliki 10 peguam bela kerana saya.

“Maka terpaksalah saya akui saya pernah membantu ramai individu sepanjang penglibatan dalam politik,

“Namun saya sama sekali tidak akan melindungi sesiapa saja antara mereka itu jika didakwa terlibat dalam jenayah,” kata Zahid. – 19 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen