NEGARA bakal menghadapi krisis pendidikan jika bilangan guru yang memilih untuk bersara awal terus meningkat, kata Mohamad Hasan.
Timbalan presiden Umno itu berkata trend guru bersara awal mahupun berhenti daripada perkhidmatan begitu meggusarkan, dan Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memberi penjelasan mengenainya.
“Intervensi kerajaan dalam perkara ini adalah sangat penting. Persaraan awal guru-guru berpengalaman adalah kerugian yang sangat besar kepada negara.
“Sekiranya berlanjutan, negara bakal menghadapi krisis pendidikan yang lebih kritikal. Ia akan memberi kesan kepada kualiti dan kebolehsaingan sistem pendidikan kita.
“Aspirasi untuk menjadikan sekolah dan mutu pendidikan Malaysia setaraf dengan mutu antarabangsa akan pasti terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad mengulas kenyataan Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) semalam, yang menganggarkan lebih 10,000 guru menghantar permohonan bersara awal setiap tahun sejak beberapa tahun lalu.
NUTP berkata jumlah tersebut menyamai kadar guru bersara wajib.

Mohamad yang juga timbalan pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata anggaran itu jauh melebihi angka yang dikeluarkan KPM pada 9 November 2021, iaitu sebanyak 4,360 guru memohon bersara awal bermula Januari tahun yang sama.
“Jika anggaran yang dibuat oleh NUTP itu benar, maka ‘trend’ bersara awal mahupun berhenti dan meninggalkan perkhidmatan dalam kalangan guru ini adalah sangat membimbangkan.
“KPM wajar tampil menjelaskan angka sebenar dan menjelaskan dengan terperinci kegusaran NUTP itu,” katanya.
Tambah beliau, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pendidikan wajar memanggil wakil KPM untuk menjelaskan perkara ini supaya satu penyelesaian jangka waktu panjang dapat dirumuskan.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata pelbagai cabaran yang dihadapi guru semasa pandemik Covid-19, yang menguji ketahanan emosi dan psikologi mereka amat difahami.
Apatah lagi guru dibebankan dengan kerja-kerja perkeranian yang akhirnya menganggu tugas hakiki mereka, tambahnya.
“Justeru kebajikan mereka adalah keutamaan yang tiada kompromi.
“Dan jika begitu ramai guru-guru mengakhiri karier mereka pada saat mereka masih produktif dan boleh menyumbang dengan berkesan, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan KPM,” kata Mohamad.
Menteri Pendidikan Radzi Md Jidin bulan lepas berkata kementeriannya sedang memperincikan maklumat termasuk punca ramai guru bersara awal. – 19 April, 2022.
Komen