POLIS perlu menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) siasatan kes orang hilang, kata kumpulan Citizens Against Enforced Disappearances (CAGED).
Gesaan itu dibuat susulan inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) minggu lalu merumuskan pihak berkuasa tidak serius menyiasat kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu.
Walaupun tidak menemui bukti bahawa mereka diculik oleh ejen kerajaan, sikap tidak serius pihak berkuasa telah membantutkan perkembangan siasatan, kata Suhakam.
Mengulas perkara itu, jurucakap CAGED Rama Ramanathan berkata dapatan Suhakam mendedahkan kegagalan polis dalam menyiasat kes orang hilang, terutamanya kehilangan Joshua dan Ruth.
“Laporan Suhakam mendedahkan kegagalan polis dalam mengutamakan kes, siasatan yang sangat tidak profesional dan lembab,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Jumaat lalu, Suhakam merumuskan Joshua dan isterinya Ruth yang juga warga Indonesia adalah mangsa kehilangan secara paksa.
Pesuruhjaya Suhakam Mohd Hishamudin Yunus ketika menyampaikan keputusan inkuiri berkata siasatan bagaimanapun tidak menemui sebarang bukti ejen kerajaan terlibat dalam kehilangan pasangan itu, namun pihak polis gagal menyiasat kes itu secara menyeluruh.
“Kami berpandangan bahawa kurangnya minat dan keseriusan polis dalam menghargai keterukan kes itu, menganggapnya sebagai kes biasa, mencerminkan kegagalan polis untuk mengutamakan kes itu,” katanya.
Mengulas SOP siasatan kes orang hilang, Rama berkata pihak polis perlu mengambil serius cadangan Suhakam supaya ia disemak semula.
Dalam laporannya minggu lalu, Suhakam mencadangkan pihak polis menambah baik SOP siasatan kes orang hilang dan penculikan, seperti kertas siasatan turut dikongsi dengan badan-badan lain.
Kehilangan Joshua dan Ruth dilaporkan oleh rakan mereka, Peter Pormannan, yang dikenali sejak 2012. Pormannan membuat laporan pada 6 Mac 2017, selepas berbulan tidak mendengar khabar berita dari Joshua.
Ahli keluarga Ruth di Indonesia juga datang ke Malaysia untuk membuat laporan polis 28 Februari 2018. Setahun kemudian, mereka dimaklumkan siasatan polis tidak menemui sebarang petunjuk.
Kehilangan Joshua dan isterinya Ruth, serta Pastor Raymond Koh dan aktivis Perlis Amri Che Mat adalah kes berprofil tinggi di Malaysia. – 19 April, 2022.
Komen