PAKATAN Harapan (PH) perlu sepakat memahami maksud pendekatan politik “khemah besar” sebelum boleh berbincang mengenainya secara bermakna untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Katanya, pendekatan yang dianjurkan Amanah bertujuan untuk menyatukan parti pembangkang dan bukan untuk bekerjasama mereka yang khianat kepada PH.
“Pendekatan ‘khemah besar’ tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti yang berada di dalam kerajaan sama ada Umno, PPBM (Bersatu) atau PAS.
“Tidak mungkin PH akan bekerjasama dengan pengkhianat yang jelas mengkhianati amanah dan mandat rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad menegaskan pengkhianat itu adalah mereka yang khianat kepada PH untuk bersama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional, dan tidak wajar disamakan dengan mereka yang tidak melompat.
“Sepertimana tidak wajar kita anggap PKR sebagai parti pengkhianat atas sebab timbalan presidennya (Mohamed Azmin Ali) dan belasan ahli parlimennya melompat, begitu juga tidak wajar kita namakan Pejuang, Warisan dan Muda sebagai pengkhianat atas sebab pengkhianatan Muhyiddin Yassin dan Bersatu,” tambahnya.
Menurut Mohamad, Amanah akan terus berusaha “memperbanyakkan kawan demi menghadapi lawan yang sama”, iaitu Barisan Nasional dan PN.
“Bagi yang membuat keputusan PRU ke-15 tidak akan dimenangi, usaha sebegini sememangnya tidak perlu.
“Usaha untuk kalah adalah jauh lebih mudah dari berjuang untuk menang,” katanya.
Kenyataan Mohamad menyusul ucapan calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli semalam yang menggesa PH supaya lebih percayakan kekuatannya sendiri untuk menghadapi PRU15, sama seperti keyakinan gabungan itu sejak 2008.
Berucap semasa kempen pemilihan PKR di Setiawangsa, Kuala Lumpur, Rafizi mengakui kekuatan PH ada pasang surut dan setiap parti komponennya mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.
Bagaimanapun tegasnya PH harus kekal bersama “semasa hujan dan panas” demi meraih keyakinan rakyat.
“Jangan bila panas sikit terus nak cari payung dan khemah yang lain. Panas sikit biasalah. Dari panas dia jadi mendung, jadi sejuk. Kita tak boleh lari lah.
“Dia jadi isu apabila kalau kita rasa goyang sikit, cari lain. Kita tak cari masalah sebenar, punca sebenar,” kata Rafizi.
Menurut Rafizi, masalah PH sekarang ialah tiada strategi dan naratif yang jelas yang boleh diterima rakyat sehingga menyebabkan parti itu kalah pilihan raya negeri, merujuk Melaka dan Johor baru-baru ini. – 18 April, 2022.
Komen