Kolej Tingkatan 6 pertama Kelantan dibina di Bukit Cina, kata Radzi


Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata pembinaan Kolej Tingkatan Enam dapat terus memacu kecemerlangan pendidikan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2022.

SEBUAH Kolej Tingkatan Enam yang dilengkapi dengan 20 bilik darjah serta kemudahan lain akan dibangunkan di Bukit Cina, di sekitar kawasan sempadan antara Ketereh dan Machang, Kelantan tidak lama lagi, 

Berita gembira berhubung pembinaan Kolej Tingkatan Enam yang pertama di Kelantan itu dikongsi oleh Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin menerusi satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.

“Terletak di lokasi yang strategik berhampiran jalan utama yang menghubungkan Kota Bharu dan Gua Musang, pembinaan kolej ini dapat memberi peluang kepada anak-anak Kelantan untuk mengikuti pendidikan peringkat lepasan menengah di premis Kolej Tingkatan Enam yang lengkap,” katanya.

Bernama difahamkan Radzi melawat tapak pembinaan kolej berkenaan, semalam. 

Radzi turut melahirkan keyakinan pembinaan kolej ini dapat terus memacu kecemerlangan pendidikan negara melalui penyediaan infrastruktur pendidikan yang lebih baik demi anak-anak generasi pewaris negara, khususnya di Kelantan. 

Beliau berkata ketika ini terdapat 23 Kolej Tingkatan Enam yang sedang beroperasi dalam negara. – Bernama, 18 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen