MAHKAMAH Rayuan membenarkan ikat jamin ke atas Sam Ke Ting sementara menunggu untuk mendengar rayuannya terhadap sabitan dan hukuman atas tuduhan menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017.
Panel tiga hakim diketuai Hakim P Ravinthran membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selepas tiada bantahan daripada pihak pendakwaan.
“Pemohon dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan kami membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman serta membenarkan permohonan untuk merayu,” katanya, seperti dipetik media.
Panel hakim disertai Lee Heng Cheong dan Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang mendengar rayuan pendakwaan mendapati Sam memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berkenaan.
Kerani itu dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000.
Sam, 27, turut hilang kelayakan memandu selama tiga tahun, berkuat kuasa selepas selesai hukuman penjara.
Hakim Abu Bakar Katar pada masa itu tidak menangguhkan hukuman kerana mengikut prosedur jenayah keputusan terhadap rayuan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu untuk merayu ke tingkat lebih tinggi.
Pada 10 Oktober 2021, Mahkamah Majistret mendapati Sam tidak bersalah, mengekalkan keputusan sama sebelum itu untuk membebaskannya daripada tuduhan.
Abu Bakar, yang mendengar rayuan pendakwaan, bagaimanapun mendapati pembelaan Sam hanyalah penafian semata-mata dan difikirkan kemudian kerana memberi kenyataan tidak bersumpah yang tidak boleh disoal balas.
Katanya, majistret bicara tersilap apabila berpendapat pembelaan Sam telah menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Abu Bakar juga memutuskan Sam memandu secara cuai dan tidak berjaga-jaga sehingga melanggar mangsa.
Keputusan Abu Bakar bagaimanapun dibantah sebahagian masyarakat yang merasakannya tidak adil serta tidak juga mengambil kira kesalahan lapan remaja berkenaan menunggang basikal secara berbahaya.
Mereka juga kembali mempersoalkan tanggungjawab ibu bapa lapan mangsa yang didakwa membiarkan anak mereka berkeliaran di jalan raya sehingga selepas tengah malam. – 18 April, 2022.
Komen