PUTRAJAYA tidak sepatutnya melaksanakan undang-undang anti lompat parti ke atas kerajaan negeri kerana ia bukan “satu penyelesaian sesuai untuk semua”, kata pakar sains politik Wong Chin Huat.
Sebaliknya, kerajaan Persekutuan harus membenarkan kerajaan negeri membuat keputusan sendiri untuk membenarkan lebih banyak inovasi apabila membuat undang-undang baharu.
Tanggapan kerajaan Persekutuan mengetahui semuanya juga adalah tidak tepat, katanya.
“Kerajaan Persekutuan sepatutnya membenarkan kerajaan negeri melakukan apa yang mereka mahu mengikut undang-undang anti lompat mereka sendiri, tetapi tidak melaksanakan (rang undang-undang anti lompat parti baharu) ke atas mereka,” katanya.
“Mengapa kita memerlukan satu penyelesaian sesuai untuk semua? Jika kita membenarkan kerajaan negeri menggubalnya sendiri, kita mungkin belajar sesuatu yang lebih baik. Mungkin terdapat persaingan dalam sistem.
“Kita sedang menguji instrumen dalam isu yang lebih kompleks, kita sekarang ada lompat pakatan, pada 1992 (kes Nordin Salleh lwn DUN Kelantan) hanya lompat parti.
“Dengan semua sekatan, had dan komplikasi ini, jika dilaksanakan ke atas semua negeri ia berbahaya.”
Wong berkata jika kerajaan negeri terpaksa mengikut kerajaan Persekutuan, apabila berlaku masalah ia memerlukan majoriti dua pertiga untuk dipinda.
“Jika anda memaksa semua negeri untuk meniru, dan selepas pilihan raya akan datang anda dapati terdapat masalah, anda memerlukan majoriti dua pertiga untuk meminda undang-undang.
“Tidak akan ada kelonggaran kepada negeri ini. Anda hanya meletakkan semuanya pada satu tempat tanpa memikirkan alternatifnya.
Minggu lalu, Dewan Rakyat sebulat suara memutuskan untuk merujuk rang undang-undang anti lompat parti kepada jawatankuasa pilihan khas susulan perbahasan lebih tujuh jam melibatkan 59 ahli Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata rancangan awal kerajaan hanya meminda perkara 10(3a) Perlembagaan Persekutuan namun ia tidak mencukupi bagi menangani lompat parti.
Sebaliknya, kerajaan memutuskan untuk membentuk jawatankuasa pilihan dwipartisan bagi meneliti rang undang-undang itu.
Jawatankuasa itu dianggotai Wan Junaidi, Azalina Othman Said (Pengerang-BN), Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas-BN), Hamzah Zainudin (Larut-PN), Takiyuddin Hassan (Kota Baru-PAS), Lukanisman Awang Sauni (Sibuti-GPS), Gobind Singh Deo (Puchong-PH), Mohamed Hanipa Maidin (Sepang-PH), Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Baharu-PH), Wilfred Madius Tangau (Tuaran-PH) and Darell Leiking (Penampang-Warisan).
Rang undang-undang baharu itu dijangka dibentangkan pada Julai ini.
Antara isu yang dibangkitkan berhubung rang undang-undang tersebut ialah definisi lompat parti serta memansuhkan artikel 48(6) dan fasal penggulingan seksyen 18c Akta Pertubuhan 1966.
Cadangan juga dibuat supaya ahli Parlimen bebas dikecualikan daripada undang-undang anti lompat parti kerana mereka menang atas merit mereka sendiri.
Ahli Parlimen juga meminta jawatankuasa itu melihat situasi dan isu parlimen yang tergantung seperti parti yang meninggalkan gabungan (iaitu Bersatu meninggalkan PH, menyebabkan kejatuhan kerajaan PH pada 2020).
Cadangan lain ialah agar kerajaan memastikan pengagihan dana kawasan pilihan raya yang adil dan sama rata untuk semua Ahli Parlimen, tanpa mengira gabungan, bagi menghapuskan faktor lompat parti. – 18 April, 2022.
Komen