Jangan mengalah sebelum masuk gelanggang, kata Loke


Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata PH tidak perlu tunggu 10 tahun untuk rampas semula Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2022.

PAKATAN Harapan (PH) tidak perlu tunggu 10 tahun untuk rampas semula Putrajaya, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

PH mesti mempunyai keyakinan dan semangat untuk menang pada pilihan raya umum, bukan mengalah sebelum masuk gelanggang, katanya pada satu majlis bersama pemimpin akar umbi DAP Selangor di Batu Caves malam tadi.

“Kita mesti ada keyakinan untuk menang. Saya tak percaya PH kena tunggu 10 tahun untuk tawan Putrajaya. Ada pemimpin dalam PH yang kata kita tidak ada harapan, tapi saya tidak percaya dengan pandangan itu.

“Dalam DAP, kita mesti ada semangat untuk menang, berjuang habis-habisan, bukan masuk gelanggang untuk kalah. Kalau macam itu baik kita bagi jalan saja pada BN.

“Ahli juga tak setuju kita kena tunggu 10 tahun lagi untuk jadi kerajaan semula,” kata Loke. 

Dua hari lalu, Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dalam wawancara bersama Sinar Harian berkata PH memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun lagi atau dua pilihan raya umum (PRU) untuk kembali menjadi kerajaan.

Bekas naib presiden PKR itu meramalkan PH akan melalui jalan sukar pada PRU akan datang, dengan tewas beberapa kerusi Parlimen dan DUN.

Nurul Izzah, senada dengan rakan seperjuangannya dalam PH, Rafizi Ramli berkata PH perlu menjadi kumpulan pembangkang yang bermaruah dan menawarkan sesuatu yang berbeza kepada pengundi, tetapi lebih praktikal berbanding pada 2018.

 Rakyat katanya masih trauma dengan apa yang berlaku ketika PH berada dalam kerajaan selama 22 bulan.

Berkenaan calon perdana menteri PH, Loke berkata perkara tersebut akan dibincangkan bersama parti komponen lain dalam  gabungan itu.

Beliau bagaimanapun berkata buat masa ini Presiden PKR Anwar Ibrahim merupakan calon perdana PH.

Ogos tahun lalu, PH menamakan Anwar yang juga pengerusinya sebagai calon perdana menteri. – 17 April, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen