KERAJAAN Johor akan memperhalusi dan melaksanakan enakmen anti lompat parti di negeri itu.
Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi berkata perkara itu akan diperhalusi bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
“Demi memastikan tidak ada lagi ahli politik yang tidak berprinsip yang mengkhianati mandat rakyat… insya-Allah saya bersama Adun Johor akan memperhalusi dan melaksanakan anti lompat parti ini di Johor,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Menerusi hantaran itu, Onn Hafiz berkata, beliau menerima kunjungan ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said dan mendengar cadangan penggubalan rang undang-undang berkaitan anti lompat parti di peringkat Persekutuan.
Usaha melaksanakan enakmen anti lompat parti antara inisiatif di bawah Ikhtiar Barisan Nasional Johor ketika Pilihan Raya Negeri Johor pada 12 Mac lalu. – Bernama, 16 April, 2022.
Komen