TINDAKAN tegas akan dikenakan sekiranya hasil siasatan mendapati punca keracunan makanan yang dialami pelajar Sekolah Izzuddin Shah di Ipoh pada 6 April lalu disebabkan kesalahan pengendali makanan.
Pengerusi jawatankuasa pendidikan, pengajian tinggi dan sumber manusia Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata pihaknya sedang menunggu laporan lengkap Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak berhubung kejadian itu yang dipercayai menyebabkan beberapa pelajar mengalami cirit-birit.
“Sudah pasti kalau kita terima laporan lengkap daripada JKN dan ada kesalahan daripada pengendali makanan sekolah, tindakan sewajarnya akan diambil dalam usaha memastikan perkara ini tidak berulang kerana ia isu kesihatan dan keselesaan dalam kalangan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program baju raya Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Perak bersama anak yatim di sebuah pasar raya di Gopeng hari ini.
Ahmad Saidi berkata, pihaknya merujuk sekolah terbabit selepas kejadian itu tular menerusi media sosial bagi mendapatkan kesahihan dan menyiasat punca sebenar bagi membolehkan langkah mitigasi diambil.
“Setakat ini hanya sebuah sekolah dilaporkan terbabit kejadian keracunan makanan dan dikatakan ada ulat dalam makanan serta beberapa pelajar mengalami cirit-birit.
“Bagaimanapun pemeriksaan di klinik kesihatan mendapati keadaan pelajar terbabit tidak kritikal, jadi mereka dibenarkan pulang ke asrama untuk menjalani rawatan seperti biasa cuma sekolah memberikan cuti tambahan,” katanya.
Isnin lalu, pengetua sekolah itu Ahmad Munawir Salehuddin dalam kenyataan menerusi Facebook rasmi sekolah berkata, pengurusan sekolah mengambil langkah sewajarnya termasuk memaklumkan kepada pejabat kesihatan daerah dan pemantauan daripada warden.
Ia susulan tular seorang bapa meluahkan rasa terkilan, kecewa dan sedih apabila tidak dimaklumkan keadaan anaknya yang terlantar di bilik sakit sekolah selama tiga hari sejak hari kejadian akibat keracunan makanan dan hanya diketahui selepas anaknya menghubungi beliau pada Jumaat lalu apabila keadaan beransur pulih.
Ahmad Munawir dilaporkan berkata, gejala awal dikesan pada 6 April lalu selepas seorang pelajar Tingkatan 4 mengalami cirit-birit sebelum kes itu bertambah menyebabkan warden mengasingkan mereka yang terbabit di bilik sakit dengan pemantauan rapi selain memaklumkan perkara itu kepada polis melalui pegawai perhubungan sekolah.
Pada keesokannya, pengurusan sekolah mengumpul sejumlah lagi pelajar yang mengalami gejala sama untuk dibawa ke Klinik Kesihatan Greentown dan mereka didiagnosis sebagai tidak kritikal. – Bernama, 16 April, 2022.
Komen