15 siri pembenihan awan tingkat kapasiti Empangan Air Itam


PBAPP bercadang mengadakan 15 operasi pembenihan awan untuk meningkatkan simpanan di Empangan Air Itam yang rendah ketika ini. – Gambar Wikipedia, 16 April, 2022.

PERBADANAN Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) merancang untuk mengadakan sebanyak 15 operasi pembenihan awan untuk meningkatkan simpanan di Empangan Air Itam di Georgetown yang rendah ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Jaseni Maidinsa berkata siri operasi pembenihan awan itu akan dijalankan bermula April hingga Ogos ini bagi mencetuskan hujan di kawasan tadahan air (KTA) empangan itu.

“Operasi pembenihan awan itu mendapat pengesahan kerajaan negeri Pulau Pinang dan ia akan dilaksanakan oleh badan kawal selia air negeri (BKSA) dengan dibantu oleh PBAPP bermula April hingga Ogos.

“Tumpuan adalah untuk mencetus hujan secara khusus di KTA Empangan Air Itam. KTA ini merangkumi 5.75 kilometer persegi kawasan hutan dilindungi di sekeliling empangan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, baru-baru ini, terdapat sedikit hujan di kawasan Air Itam namun Empangan Air Itam masih berada di bawah status amaran kerana kapasiti efektif rendah iaitu 39% yang menjadi punca utama hujan rendah di KTA itu dan permintaan air harian yang tinggi di perbandaran Air Itam sejak awal Januari lalu.

Jaseni berkata, objektif utama cadangan operasi pembenihan awan KTA Empangan Air Itam itu adalah untuk mencegah krisis bekalan air di Air Itam dan kawasan sekitarnya dalam tempoh April hingga Ogos, jika hujan tidak mencukupi di empangan dan permintaan air tinggi yang berterusan.

Katanya, selain itu ia dilakukan untuk mengisi semula empangan dengan air mentah sebanyak mungkin sebelum musim hujan September depan kerana Empangan Air Itam hanya boleh diisi semula oleh hujan di kawasan tadahan airnya.

“Kami juga mahu mencapai kapasiti efektif 90% (atau lebih tinggi) untuk Empangan Air Itam menjelang Disember 2022, sebagai persediaan musim kemarau seterusnya yang sepatutnya bermula Januari 2023,” katanya.

Beliau berkata, PBAPP juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan BKSA kerana bersetuju untuk melaksanakan pembenihan awan di atas KTA Empangan Air Itam yang mana ia langkah penting bagi menyokong komitmen PBAPP untuk mengekalkan perkhidmatan bekalan air yang baik secara berterusan di Air Itam dan kawasan sekitarnya pada 2022 dan 2023, untuk manfaat rakyat serta perniagaan.

“Pada 2020, kerajaan negeri membiayai kempen pembenihan awan untuk mencegah krisis air di Pulau Pinang, apabila kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang berada pada tahap paling rendah iaitu 16%,” katanya. – Bernama, 16 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen