INDUSTRI perhotelan di Pulau Pinang menunjukkan permintaan yang baik daripada pelancong namun ketika ini pihak hotel masih mengalami masalah kekurangan pekerja.
Pengerusi jawatankuasa pelancongan dan ekonomi kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata ia berikutan pekerja sebelum ini kekal bekerja di bidang lain iaitu ketika berlaku pandemik Covid-19 dan pekerja ekonomi gig.
“Bagi memastikan industri hospitaliti dan perhotelan ini khususnya berupaya mendepani cabaran ketika negara sedang mengalami era kebangkitan ekonomi, saya sarankan mereka yang terbabit melakukan rekalibrasi dan proses ‘kejuruteraan’ dalam industri masing-masing.
“Saya juga turut berharap lebih ramai bakat dan tenaga kerja baharu boleh direkrut menerusi ekspo kerjaya ‘Jom Cari Kerja’ yang dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkenaan,” katanya selepas merasmikan ekspo kerjaya di Butterworth, hari ini.
Ekspo kerjaya itu lanjutan daripada program siri pertama yang diadakan di Georgetown, Sabtu lalu dan 33 pempamer atau pemain industri mengambil bahagian kali ini.
Ia dianjurkan kerajaan negeri melalui Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) dengan kerjasama beberapa pihak seperti Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP), Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) serta Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (Matfa).
Sementara itu, Presiden ATAP Ch’ng Huck Teng berkata, pihaknya meminta subsidi gaji sepanjang tempoh setahun penangguhan pelaksanaan kadar gaji minimum untuk sektor pelancongan dan hospitaliti dibuat secara lebih adil dan seimbang dengan sektor lain.
Katanya, ketika ini kedua-dua industri itu masih dalam proses untuk pulih daripada kegawatan ekonomi susulan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.
“Ketika ini juga, industri pelancongan dan hospitaliti yang dikecualikan daripada pelaksanaan kadar gaji minimum itu cuma menawarkan gaji asas sebanyak RM1,200 sahaja dan ini menyebabkan kami mengalami masalah kekurangan pekerja kerana ramai tidak berminat untuk bekerja di hotel dan lari bekerja di kilang dan sebagainya,” katanya. – Bernama, 16 April, 2022.
Komen