KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang memproses pengeluaran dana berjumlah RM40.1 bilion melibatkan 5.3 juta permohonan kemudahan pengeluaran khas yang akan dibayar bermula 20 April ini, kata agensi itu.
Jumlah itu berdasarkan permohonan yang diterima setakat 8 malam Khamis (14 April), kata KWSP.
“Pembayaran akan dibuat secara berperingkat, di mana pembayaran pertama akan bermula pada 20 April 2022,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Jumlah itu melibatkan 44 peratus daripada hampir 12 juta ahli KWSP yang layak membuat pengeluaran, kata agensi itu.
Berdasarkan pengkelasan gaji, mereka terdiri daripada 55 peratus pencarum berpendapatan kurang RM1,700 atau kumpulan B40, 59 peratus berpendapatan tidak lebih RM4,900 (M40), dan 39 peratus berpendapatan lebih RM4,900 atau T20.
Majoriti permohonan datang daripada pencarum Melayu (63 peratus), diikuti Bumiputera Sabah dan Sarawak, dan bukan warganegara (17 peratus), Cina (12 peratus) dan India (0.7 peratus).
“Berdasarkan maklum balas daripada ahli yang memohon kemudahan ini, tiga sebab utama permohonan termasuklah mengalami pengurangan pendapatan (24 peratus), membantu pasangan atau ahli keluarga yang terjejas kewangan (23 peratus) dan menambah sumber kewangan (14 peratus).
“Manakala tujuan pengeluaran adalah untuk menampung perbelanjaan keperluan asas harian/ bulanan (40 peratus), membayar tunggakan hutang (26 peratus), menambah simpanan/ dana kecemasan (8 peratus) dan membantu ahli keluarga yang terjejas kewangan (7 peratus), dengan 19 peratus selebihnya adalah untuk tujuan lain seperti membayar pendidikan anak-anak, perbelanjaan lain, dan pelaburan,” kata KWSP.
Sementara itu, KWSP menasihati pencarumnya supaya berhati-hati daripada menjadi mangsa penipuan yang semakin berleluasa pada masa ini.
Ia juga mengingatkan mereka supaya bijak membelanjakan wang dan memikirkan simpanan untuk hari tua.
Ini adalah pengeluaran kali keempat yang dibenarkan oleh kerajaan sejak pandemik Covid-19 menyebabkan ekonomi rakyat terjejas, termasuk hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.
Skim i-Lestari membolehkan pengeluaran maksimum RM6,000 daripada Akaun 2, sementara i-Sinar pula membenarkan pengeluaran antara RM10,000 hingga RM60,000 bergantung baki simpanan pencarum.
Skim i-Citra pula, yang diumumkan melalui Belanjawan 2021, membenarkan pengeluaran sehingga RM5,000 tertakluk kepada baki simpanan dalam Akaun 1 dan Akaun 2.
Skim pengeluaran khas yang sedang diproses KWSP sekarang membenarkan pengeluaran sehingga RM10,000 daripada Akaun 2 yang ditampung jika tidak cukup melalui Akaun 1.
Kemudahan itu dibuka untuk permohonan sehingga 30 April ini. – 16 April, 2022.
Komen