Ismail perlu fikir pakatan sesuai untuk menang PRU15, kata Annuar


Annuar Musa berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu memikirkan "pakatan" yang sesuai bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 April, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu memikirkan “pakatan” yang sesuai bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang, kata Annuar Musa.

Tambahnya Ismail juga perlu menanam keyakinan kepada parti lain untuk menyokongnya ketika beliau menerajui jawatan tertinggi negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata demikian ketika beliau menggariskan alasan mengapa Ismail juga perlu menjadi pengerusi Barisan Nasional selepas beliau dicadangkan oleh Umno menjadi calon perdana menteri pada PRU15.

“Ada yang bertanya rasional di sebalik idea mencadangkan Ismail menjadi pengerusi BN dan pengarah BN PRU15?

“Jawapannya mudah. Untuk dinamakan sebagai calon perdana menteri tidak bermakna jika parti itu tidak memenangi PRU dengan cukup kerusi bagi membentuk kerajaan sendiri,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Pada masa ini jawatan pengerusi BN disandang oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Annuar berkata dalam kemungkinan Umno tidak mampu memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi dengan pergi secara solo (PRU15), jawatan PM tidak boleh ditentukan oleh Umno sahaja.

“Sebaliknya ia mesti ditentukan bersama oleh komponen BN dan seterusnya perlu mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen yang datang dari pelbagai parti lain.

“Ini bermakna Ismail selepas dinamakan sebagai calon PM Umno perlu memikul tanggungjawab mencari ‘formula kemenangan’ untuk parti.

“Ini bukan perkara yang mudah apatah lagi jika tanpa jawatan yang kukuh dalam parti dan organisasi pilihan raya,” katanya.

Annuar berkata Ismail perlu memastikan kesediaan BN dari segi organisasi, jentera, kewangan dan logistik sebelum membubarkan kerajaan sedia ada bagi mendapatkan mandat baharu.

“Ismail perlu membuat perhitungan dan mencari formula kemenangan terutama untuk menentukan barisan ahli Parlimen Umno yang boleh memenangi kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Ini melibatkan pemilihan calon PRU15 yang mesti bersamanya dalam kerajaan,” katanya.

Ahli Parlimen Ketereh itu juga berkata Ismail mesti berada dalam kedudukan yang kukuh dalam BN kerana jika tidak beliau hanya akan menjadi “perdana menteri yang akan berundur” yang sekali lagi akan mewujudkan ketidakstabilan dalam kerajaan.

“Jika beliau sendiri selepas dicalonkan sebagai calon dan bakal PM oleh Umno boleh mengemudi bantera BN sebagai pengerusi, maka beliau dan presiden Umno boleh bekerjasama dan teguh bagi memastikan kemenangan parti komponen Umno dan BN serta parti lain.

“Semua ini hanya boleh dilakukan dengan berkesan sekiranya Ismail menerajui BN dan bertindak sebagai pengarah utama PRU15,” katanya. – 16 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen