Faktor mengapa Ismail Sabri perlu ketuai BN


ADA pihak bertanya, apa rasionalnya idea Ismail Sabri Yaakob (yang telah pun dinamakan sebagai calon perdana menteri Umno oleh Majlis Kerja Tertinggi) dicadangkan sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN) dan pengarah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) BN?

Jawapannya mudah. Pertama dinamakan sebagai calon perdana menteri tidak membawa sebarang makna sekiranya parti tidak memenangi PRU dengan cukup bilangan kerusi untuk membentuk kerajaan sendiri.

Kedua, (dalam kemungkinan Umno tidak berupaya memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi secara solo), jawatan perdana menteri tidak boleh ditentukan oleh Umno sahaja, sebaliknya perlu ditentukan bersama oleh komponen BN, dan selanjutnya perlu mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, yang datangnya dari pelbagai parti lain lagi.

Ini bermakna Ismail Sabri, setelah dinamakan calon perdana menteri Umno, perlu memikul tanggungjawab mencari “the winning formula” untuk parti. 

Ini bukan satu perkara mudah, apalagi jika tanpa satu kedudukan yg kukuh dalam parti dan organisasi pilihan raya.

Pertama, Ismail Sabri perlu memastikan kesiapsiagaan parti BN dari segi organisasi, jentera, kewangan, logistik dan lain-lain sebelum beliau membubar kerajaan campuran pimpinannya sekarang untuk mendapat mandat baru. Jika tidak, “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”.

Kedua, Ismail Sabri perlu membuat perhitungan dan mencari “the winning formula”, terutama menentukan saf ahli parlimen Umno yang mampu memenangkan cukup bilangan kerusi untuk membentuk kerajaan.

Ini melibatkan pemilihan calon-calon PRU15 yang akan datang, yang perlu berdiri bersama beliau dalam kerajaan.

Ketiga, Ismail Sabri perlu memikirkan “alliance” yang sesuai bagi memastikan kemenangan BN. Ini melibatkan keyakinan parti-parti lain untuk memberi sokongan kepadanya sebagai perdana menteri.

Keempat, dan paling penting Ismail Sabri mesti berada pada posisi yang kukuh dalam BN, kerana jika tidak beliau hanya menjadi “lame duck prime minister” yang pastinya akan sekali lagi mewujudkan ketidakstabilan kerajaan pimpinannya.

Sekiranya beliau sendiri, setelah dinamakan sebagai calon dan bakal perdana menteri ke-10 oleh Umno dapat menakhodai bahtera BN sebagai pengerusi, maka beliau dan presiden Umno bolehlah bergandingan dengan padu dan mantap bagi menjamin kemenangan saf Umno, komponen BN dan lain-lain parti sahabat.

Semua ini hanya boleh dilakukan dengan berkesan sekiranya Ismail Sabri sendiri memimpin BN dan bertindak sebagai pengarah utama PRU15.

Jika tidak beliau tidak lebih dari hanya bakal pengantin, yang ijab dan kabulnya terletak kepada imam dan wali serta bakal pasangan yang belum tentu menjadikan impian satu kenyataan. – 16 April, 2022.

* Annuar Musa, bekas setiausaha agung Barisan Nasional.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen