Tidak sambung MoU keputusan Umno, tiada kaitan dengan Pakatan, kata Anthony Loke


Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata keputusan Umno tidak mahu kerajaan meneruskan MoU dengan Pakatan Harapan bukan urusan parti pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 April, 2022.

KEPUTUSAN Umno tidak mahu kerajaan meneruskan memorandum persefahaman transformasi dan kestabilan politik (MoU) dengan Pakatan Harapan selepas 31 Julai ini bukan urusan parti pembangkang, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Keputusan itu urusan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan partinya, katanya.

“MoU tersebut adalah persefahaman antara Pakatan Harapan dengan Kerajaan Persekutuan dan bukannya dengan pucuk pimpinan Umno. 

“Justeru itu, pihak kami tidak terikat dengan apa-apa keputusan Majlis Tertinggi Umno,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Loke mengulas keputusan Majlis Tertinggi Umno kelmarin yang menetapkan agar kerajaan tidak meneruskan MoU dengan PH selepas 31 Julai ini.

MoU berkenaan, yang dimeterai pada 13 September 2021, berkuatkuasa sehingga Parlimen bubar. Bagaimanapun ia pada masa sama menetapkan Parlimen tidak boleh dibubar sebelum 31 Julai ini. 

Menurut Loke, pimpinan DAP telah mengarahkan jentera parti bersiap sedia sepenuhnya menghadapi pilihan raya menjelang Ogos ini.

“Dalam apa keadaan sekali pun, saya yakin bahawa DAP dan Pakatan Harapan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pembubaran Parlimen pada awal bulan Ogos akan datang,” katanya.

Loke, yang juga antara wakil PH dalam rundingan MoU berkenaan, mengingatkan sebarang keputusan mengenai MoU itu perlu dibincang secara rasmi antara perdana menteri sebagai wakil kerajaan pelbagai parti dengan pimpinan tertinggi PH.

“Terdapat juga percanggahan pendapat di kalangan parti-parti dalam blok kerajaan berkenaan garis masa MoU tersebut seperti yang dilaporkan oleh pihak media.

“Bagi Pakatan Harapan, isu yang paling penting ialah pelaksanaan semua komitmen kerajaan yang termaktub dalam MOU terutamanya penggubalan Akta Anti Lompat Parti sebelum Parlimen dibubarkan,” katanya.

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata beliau mahu mendapatkan penjelasan daripada Ismail Sabri mengenai kedudukan MoU berkenaan, susulan keputusan Majlis Tertinggi Umno.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata perkara berkenaan ada dibincangkan dalam pertemuan antara pimpinan PN dengan perdana menteri hujung minggu lalu dan mereka dimaklumkan tiada apa-apa perundingan perlu dibuat.

“Saya setuju dengan pendirian itu tetapi (sekarang), ada keputusan yang agak berbeza.

“Kita akan dapatkan penjelasan adakah dia (Ismail Sabri) nak berhenti atau lanjut lagi, wallahualam,” katanya. – 16 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen