KONTAK rapat yang bergejala perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 dan mengemas kini keputusan dalam aplikasi MySejahtera, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
“MMA mengingatkan kontak rapat untuk melakukan perkara yang bertanggungjawab dan menjalani ujian jika ada simptom Covid-19.
“Sekiranya anda didapati positif, laporkan diri anda di aplikasi MySejahtera supaya keadaan anda boleh dinilai dan diuruskan,” kata presidennya Dr Koh Kar Chai dalam kenyataan hari ini.
Dr Koh berkata langkah itu perlu walaupun tiada lagi keperluan untuk kontak rapat tanpa gejala menjalani kuarantin.
Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kontak rapat kes Covid-19 tanpa mengira status vaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin berkuatkuasa 22 April ini.
Protokol baharu itu bermakna individu yang tidak divaksin juga tidak perlu dikuarantin jika dikenal pasti sebagai kontak rapat Covid-19, melainkan mereka menunjukkan gejala.
Sebelum ini hanya mereka yang menerima dos penggalak dan tidak bergejala dikecualikan daripada menjalani kuarantin.
Bagi kontak rapat yang tidak menerima dos penggalak perlu menjalani kuarantin selama lima hari, manakala tujuh hari bagi yang langsung tidak divaksin.
Tempoh kuarantin bagi individu positif Covid-19 kekal tujuh hari. – 15 April, 2022.
Komen