Fahmi Reza akan dibebaskan hari ini, kata peguam


Alfian Z.M. Tahir

Kartunis politik Fahmi Reza yang ditahan semalaman susulan reka bentuk grafik kontroversinya baru-baru ini akan dibebaskan lewat petang ini, kata peguamnya Rajsurian Pillai hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2022.

KARTUNIS politik Fahmi Reza yang ditahan semalaman susulan reka bentuk grafik kontroversinya baru-baru ini akan dibebaskan lewat petang ini, kata peguamnya Rajsurian Pillai hari ini.

Mendedahkan perkara itu menerusi akaun Twitternya Rajsurian berkata penolong kanan berdaftar Fatin Hamim menafikan permintaan polis untuk perintah reman empat hari terhadap Fahmi.

Fahmi ditahan di lokap balai polis daerah Dang Wangi.

“Pegawai penyiasat memohon reman empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah tetapi dinafikan pendaftar.

“Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak pendaftar Fatin Hamim membenarkan reman sehari. Fahmi akan dibebaskan hari ini,” katanya di Twitter.

Semalam Fahmi disoal siasat berhubung karikatur terbaharu seekor cimpanzi yang memakai kostum diraja Melayu.

Kartunis politik merangkap aktivis itu disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

Menggunakan watak Mojo Jojo, penjahat dari rancangan kartun The Powerfuff Girl Fahmi menyiarkan lukisannya di Facebook yang menggambarkan seekor beruk berwarna hijau dan berbulu hitam yang memakai pakaian berwarna kuning serta objek seperti keris dan pingat kebesaran.

Beberapa jam kemudian beliau mengeluarkan kenyataan mengatakan mereka yang boleh menerima karya sindiran yang menyamakan orang lain dengan beruk harus menerimanya apabila perkara serupa dilakukan ke atas mereka.

Walaupun tidak menyebut nama dipercayai beliau merujuk kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang membeli lukisan menggambarkan ahli Parlimen sebagai monyet, beruk dan katak. – 14 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen