PAS berharap memorandum persefahaman (MoU) antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (PH) akan kekal sehingga pilihan raya umum akan datang, kata Takiyuddin Hassan.
Setiausaha agung parti berkata dalam satu kenyataan hari ini, MoU berkenaan akan membantu dalam proses pemulihan negara.
Ismail Sabri menandatangani MoU dengan PH pada September lalu untuk memastikan kestabilan politik dan bagi memulakan reformasi institusi.
MoU itu juga memastikan kedudukan Ismail Sabri sebagai perdana menteri selamat dengan sokongan PH.
Bagaimanapun Umno menggesa MoU itu tidak dilanjutkan apabila ia tamat pada 31 Julai, dan mahu pilihan raya umum diadakan segera.
“PAS juga yakin Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik di antara kerajaan persekutuan dengan pihak pembangkang yang pada umumnya yang berkuatkuasa dari tarikh ia ditandatangani dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen Malaysia yang ke-14 akan terus membantu proses pemulihan negara di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” kata Takiyuddin.
MoU kerajaan dan PH yang dimeterai pada 13 September 2021 berkuatkuasa sehingga Parlimen bubar, tetapi pada masa sama menetapkan Parlimen tidak boleh dibubar sebelum 31 Julai ini.
Ahli Parlimen Kota Baru itu juga berkata pihaknya mengalu-alukan langkah Umno menamakan Ismail Sabri sebagai calon perdana menterinya untuk PRU15.
“PAS menyambut baik keputusan Umno mencadangkan agar Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri Malaysia selepas PRU15 nanti,” katanya.
Semalam Umno mengumumkan ia sebulat suara mengundi untuk mencadangkan naib presiden Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri pada pilihan raya umum akan datang.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh setiausaha agung parti Ahmad Maslan, parti itu juga berkata MoU kerajaan dengan PH tidak seharusnya dilanjutkan selepas tamat pada 31 Julai.
Parti itu juga mahu pembentangan rang undang-undang anti lompat parti diteruskan tanpa sebarang tekanan daripada pihak lain.
Hubungan PAS dan Umno tegang selepas parti Islam itu memutuskan untuk kekal bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional dan bukannya menjalin hubungan yang lebih kukuh dengan Umno dalam Muakafat Nasional.
Umno, PAS dan Bersatu semuanya bersekutu di peringkat persekutuan walaupun hubungan dingin. – 15 April, 2022.
Komen