Covid-19 masih jauh untuk jadi endemik, kata WHO


WHO menegaskan Covid-19 masih belum menjadi endemik dan setiap orang masih perlu berwaspada. – Gambar EPA, 15 April, 2022.

COVID-19 masih jauh untuk menjadi penyakit endemik dan masih boleh mencetuskan wabak besar di seluruh dunia, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis.

Pengarah Kecemasan WHO Michael Ryan berkata satu kesilapan juga jika berfikir Covid-19 sudah reda dan menjadi endemik, yang bermakna masalah itu akan berakhir.

“Saya yakin kita belum mencapai apa-apa yang hampir dengan situasi endemik dengan virus ini,” Ryan memberitahu sesi soal jawab secara langsung di saluran media sosial WHO.

Beliau berkata ia tidak berakhir dalam mana-mana corak bermusim atau jangkitan, dan “masih agak tidak menentu, masih mampu menyebabkan wabak yang besar.

“Itu bukan penyakit endemik lagi.”

Beliau menyebut batuk kering dan malaria sebagai penyakit endemik yang masih membunuh jutaan orang setiap tahun.

“Jangan percaya endemik bersamaan dengan ia sudah berakhir, ringan atau bukan menjadi masalah. Itu tidak berlaku sama sekali,” kata Ryan.

Ketua teknikal Covid-19 WHO Maria Van Kerkhove, yang turut dijangkiti penyakit itu dan sedang menjalani pengasingan diri di Amerika Syarikat, berkata virus itu berlegar pada tahap yang tinggi, menyebabkan “sejumlah besar kematian dan kemusnahan”.

“Kita masih di tengah-tengah wabak. Kita semua berharap ia tidak begitu. Tetapi kita bukan berada di peringkat endemik.”

Ryan menjelaskan selalunya penyakit yang pernah menjadi wabak merebak menjadi corak endemik, memfokuskan pada bahagian tertentu populasi.

Beliau berkata ia sering boleh menjadi penyakit zaman kanak-kanak, seperti campak dan difteria, kerana “apabila kanak-kanak baru dilahirkan, mereka mudah dijangkiti”.

Tetapi jika tahap vaksinasi menurun, seperti yang berlaku dengan campak, wabak boleh merebak lagi.

Minggu lalu, menyaksikan jumlah kematian Covid-19 terendah dicatatkan berbanding awal wabak.

Bagaimanapun, lebih 20,000 kematian dilaporkan, yang dikatakan Ryan “masih terlalu ramai…kita sepatutnya gembira tetapi tidak sepatutnya berpuas hati”. – AFP, 15 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen