WARGA emas dan pesakit dengan komorbid serta imun lemah akan diutamakan untuk menerima ubat antiviral Covid-19, Paxlovid, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri kesihatan berkata selain golongan ini, pesakit yang diberi skor 3 dan ke atas juga akan diberi keutamaan untuk ambil ubat antiviral itu.
“Pesakit Covid-19 di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan hospital awam akan disaring dan dinilai oleh pegawai perubatan dan diberi skor untuk tentukan kriteria mereka sebelum memulakan rawatan antiviral Paxlovid.
“Pesakit yang diberi skor tiga dan ke atas akan diberi keutamaan untuk rawatan antiviral.
“Keutamaan rawatan juga akan diberikan kepada pesakit warga emas dan pesakit yang mempunyai pelbagai komorbiditi dan mereka yang lemah imun,” kata Khairy pada sidang media di Parlimen hari ini.
Khairy berkata ubat Paxloid itu akan digunakan dalam rawatan pesakit Covid-19 untuk umur 18 tahun ke atas, mereka yang dijangkiti dalam Kategori 2 dan 3, pesakit yang tidak memerlukan terapi oksigen selain pesakit yang berisiko tinggi untuk mendapat simptom Covid-19 yang teruk.
Katanya, ubat itu perlu diambil dalam tempoh masa lima hari gejala bermula, untuk keberkesanan optimum.
“Pesakit yang menerima ubat ini perlu pastikan ia diambil mengikut dos yang disyorkan iaitu dua kali sehari untuk tempoh lima hari,” kata Khairy.
Khairy berkata, kementeriannya telah memperoleh sejumlah 104,700 kotak ubat antiviral paxlovid, dengan setiap pesakit memerlukan satu kotak setiap satu.
Paxlovid telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 3 Mac dan diberi kelulusan bersyarat untuk digunakan bagi rawatan Covid-19.
Ubat ini mengandungi dua bahan aktif iaitu PF07321332/Nirmatrelvir dan Ritonavir dalam sediaan dua tablet berbeza.
Ia bertindak untuk mengurangkan kemampuan replikasi SARS-Cov-2 seterusnya membolehkan sistem pertahanan badan untuk melawan jangkitan
Khairy menegaskan penggunaan ubat antiviral Paxlovid bukanlah pengganti vaksin Covid-19.
Mengenai penghantaran fasa pertama Paxlovid, Khairy berkata ubat itu tiba di Malaysia pada 9 April dan kumpulan pertama boleh menampung 48,000 pesakit.
“Setakat ini, penghantaran telah dibuat ke 14 hospital di setiap negeri kecuali Sabah dan Sarawak, yang dihantar ke stor logistik farmaseutikal negeri masing-masing.
“Penghantaran ke Sabah dan Sarawak akan dilakukan esok.
“Semua penghantaran ini melibatkan 481 CAC dan klinik kerajaan serta 15 hospital awam,” tambah Khairy. – 14 April, 2022.
Komen