FAHMI Reza telah ditahan polis bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan berhubung satu karya disiarkannya semalam memaparkan beruk berpakaian warna kuning, kata peguamnya Rajsurian Pillai.
Katanya aktivis itu ditahan pukul 4.20 petang di balai polis Dang Wangi selepes memberi keterangan.
“Polis rampas telefon bimbit dan kad SIM untuk siasatan. Mereka akan minta perintah reman esok,” katanya kepada pemberita.
Rajsurian berkata polis menyiasat Fahmi di bawah Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Awal hari ini melalui hantaran di Facebooknya, pereka grafik itu berkata beliau menerima panggilan daripada Bukit Aman memaklumkan beliau sedang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.
“Aku dah terima panggilan telefon dari polis Bukit Aman. Tak sampai 15 jam polis dah buka kertas siasatan bawah Akta Hasutan dan Akta Sakit Hati kerana grafik satira beruk yang aku post malam tadi.
“Polis minta datang balai untuk disoal siasat petang ni juga. Kita jumpa kejap lagi PDRM!” tulis Fahmi.
Karya yang disiarkannya itu memaparkan karikatur seekor beruk berwarna hijau dan berbulu hitam yang memakai pakaian berwarna kuning serta objek seperti keris dan pingat kebesaran.
Grafik itu diolah menjadi seperti satu potret dengan bingkai berwarna keemasan dan dimuatkan di Twitter pada kira-kira jam 10.15 malam tadi.
Dalam satu lagi coretan berasingan sekitar jam 1 pagi, Fahmi menyebut mengenai penerimaan ke atas kritikan dalam bentuk satira yang disebutnya sebagai perbuatan “memberukkan” seseorang.
“Kalau kita boleh terima dan tak sekat karya satira yang memberukkan orang lain, kita juga harus terima dan tak sekat karya satira orang lain yang memberukkan kita,” katanya.
Kenyataan itu muncul selepas beberapa ahli Parlimen menyuarakan rasa tidak senang apabila Sultan Selangor mempamerkan satu lukisan memaparkan beruk dan katak bersidang di Dewan Rakyat.
Antaranya, ahli Parlimen Parit Buntar Mujahid Yusof dari parti Amanah yang menganggap lukisan yang dibeli Sultan Sharafuddin Idris Shah itu melanggar etika dan adab.
Bekas menteri agama itu antara lain memetik ayat dalam Surah Hujurat (Al-Quran 49:11) mengenai larangan Allah ke atas perbuatan mencemuh dan gelaran dengan panggilan buruk.“Malah mereka yang tidak berhenti berbuat demikian (bertaubat) dia disebut oleh Allah sebagai orang yang zalim,” kata Mujahid yang turut menganjurkan agar satira menghormati adab Islam. – 14 April, 2022.
Komen