Status kerusi Ayer Hitam masih belum diputuskan


Asila Jalil

Presiden Amanah Mohamad Sabu mengakui perbincangan masih berjalan berhubung parti mana yang akan bertanding di kerusi Ayer Hitam, Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2018.

MASIH tiada kata putus mengenai parti mana yang akan bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Presiden Amanah Mohamad Sabu susulan laporan yang mendakwa DAP menuntut semula kerusi itu.

“Tidak, kita belum membuat keputusan. Kita masih berbincang. Masih tiada keputusan muktamad,” katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Mohamad ditanya mengenai pengumuman DAP baru-baru ini yang ia akan bertanding di Ayer Hitam, Johor, bertentangan dengan rancangan awal untuk membenarkan Amanah meletakkan calonnya di sana.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke pada Sabtu mengesahkan parti itu akan bertanding di kerusi itu untuk menentang Timbalan Presiden MCA, Wee Ka Siong.

Loke berkata perubahan rancangan itu timbul kerana Amanah kini mempunyai 12 kerusi negeri di Johor yang dikatakannya “dianggap banyak, bukannya sedikit”. Memandangkan DAP tidak dapat menambah satu lagi kerusi negeri, ia memilih mengambil semula Ayer Hitam, katanya.

Sebelum ini, DAP berkata ia akan memberi laluan kepada calon Amanah untuk bertanding di Ayer Hitam sebagai sebahagian daripada strategi Pakatan Harapan untuk menawan kerusi tersebut.

Dilaporkan DAP menyerahkan kerusi Parlimen Tanjung Piai di Johor dan kerusi Parlimen Alor Gajah di Melaka untuk bertanding di Ayer Hitam. – 13 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen