Sabah, Putrajaya setuju naikkan bayaran khas RM126.6 juta


SABAH akan mendapat bayaran khas RM125.6 juta untuk 2022, 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta sebelum ini, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Tertakluk kepada persetujuan kerajaan persekutuan dan negeri Sabah, bayaran ini akan dinaikkan setiap tahun dari 2023 hingga 2026,” kata Ismail dalam satu kenyataan bersama Ketua Menteri Sabah Hajiji Md Noor.

Beliau berkata bayaran khas ini adalah selaras dengan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah hasil siri perbincangan antara Kementerian Kewangan (MOF) dan kerajaan Sabah di mana kebanyakan syarat telah dipersetujui pada 14 Februari,” kata kedua-dua pemimpin itu.

“Ini adalah perkara penting kerana kali terakhir pembayaran khas itu disemak adalah pada tahun 1969.”

Selepas ini, kedua-dua kerajaan akan terus merundingkan tuntutan Sabah untuk 40% daripada hasil negeri dan terus mengkaji semula bayaran khas yang perlu dibayar kepada negeri itu.

Melainkan jumlah baharu dipersetujui, kerajaan persekutuan akan terus membayar bayaran khas RM125.6 juta kepada Sabah.

Perjanjian ini, kata kedua-dua kerajaan, tidak menjejaskan tuntutan Sabah terhadap perbelanjaan mengurus di bawah Perkara 112C dan Jadual ke-10.

Ia berkata bahawa perjanjian itu selaras dengan konsep “Keluarga Malaysia” kerajaan persekutuan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963. – 14 April, 2022.
 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen