VAKSIN yang berkesan untuk melawan semua jenis varian boleh dihasilkan sebelum hujung tahun ini, kata syarikat farmaseutikal Pfizer.
Pengerusinya Albert Bourla semalam berkata, Pfizer juga dalam usaha untuk menghasilkan vaksin yang boleh memberi perlindungan untuk setahun, bermakna orang ramai hanya perlu mendapatkan dos penggalak setahun sekali seperti suntikan influenza.
“Saya harap vaksin ini sudah ada pada musim luruh nanti, yang berkesan terhadap bukan sahaja Omicron tetapi semua varian yang diketahui.
“Ia satu kemungkinan, namun bukanlah satu kepastian,” kata Bourla pada taklimat media anjuran Persekutuan Antarabangsa Pengilang dan Persatuan Farmaseutikal (IFPMA) semalam.
Vaksin keluaran Pfizer-BioNTech antara yang paling berkesan melawan Covid-19.
Vaksin Pfizer masih menawarkan perlindungan yang kuat terhadap jangkitan serius serta kemasukan ke hospital dan kematian, walaupun keberkesanannya semakin berkurang seperti vaksin lain.
“Apa yang dunia perlukan sebenarnya ialah vaksin yang bertahan selama setahun. Saya fikir inilah yang akan menjadi penyelesaian kesihatan awam yang optimum.
“Ia lebih mudah diurus dan orang ramai akan mematuhinya. Secara teknikalnya ia sangat mencabar tetapi kami sedang mengusahakannya,” kata Bourla. – AFP, 14 April, 2022.
Komen