Aminuddin Harun sifatkan calon naib presiden PKR berkaliber, berpengaruh


Aminuddin Harun menyifatkan semua calon yang bertanding bagi jawatan naib presiden dalam pemilihan PKR kali ini berkaliber serta mempunyai kekuatan dan pengaruh masing-masing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2022.

PENGERUSI Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan Aminuddin Harun menyifatkan semua calon yang bertanding bagi jawatan Naib Presiden dalam pemilihan PKR kali ini berkaliber serta mempunyai kekuatan dan pengaruh masing-masing.

Aminuddin antara calon Naib Presiden PKR kali ini turut berterima kasih kepada calon Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang menyenaraikan beliau dalam pasukannya pada pemilihan kali ini.

“Saya lihat mereka semua berkaliber, ada kekuatan dan pengaruh masing-masing, Ini menunjukkan bahawa dalam PKR itu ramai pemimpin.

Terima kasih masukkan saya dalam pasukan tersebut. Semua pasukan saya masuk, tetapi apabila Rafizi letakkan saya dalam pasukan tersebut, saya ucapkan terima kasih. Kita kena bekerja sebagai satu pasukan, iaitu pasukan Keadilan,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan itu kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri hari ini.

Media melaporkan Rafizi menyenaraikan pasukannya bagi calon Naib Presiden PKR dengan menamakan Aminuddin, Chang Lih Kang (Ahli Parlimen Tanjung Malim); Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa) dan G Manivannan (bekas ahli Parlimen Kapar) bagi pemilihan kali ini. – Bernama, 13 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen