PIHAK berkuasa harus menjalankan pemeriksaan bulanan ke atas pusat-pusat hiburan di Bangsar, Kuala Lumpur bagi mencegah pergaduhan dan aktiviti jenayah lain, kata ahli perniagaan Ronald Quay.
Jurucakap Majlis Perniagaan Bangsar itu berharap pihak berkuasa akan datang dan memeriksa kawasan itu setiap bulan bagi menghapuskan kedai yang tidak mengikut garis panduan.
Quay yang juga pemilik Ronnie Q’s Restaurant and Bar yang beroperasi selama 30 tahun berkata mana-mana kedai yang melanggar undang-undang mesti dikeluarkan saman serta-merta.
“Masalahnya sekarang ia (penguatkuasaan) tidak kerap dijalankan. Isu ini sudah berlarutan selama bertahun-tahun.
“Jika mereka (kedai) tidak mempunyai lesan maka ia perlu ditutup serta-merta,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Quay memberi maklum balas terhadap gesaan untuk penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat di kawasan kejiranan mereka.
Penduduk berkata mereka terpaksa bersabar dengan isu tempat letak kereta haram di luar kediaman, pencemaran bunyi dan pergaduhan di kawasan kejiranan di mana terdapat restoran serta pub popular.
Penasihat Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya M. Ali sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight bahawa aktiviti komersial dan persekitaran Bangsar memerlukan perhatian kerana keselamatan penduduk terancam.
“Kami bimbang. Ada penduduk yang tidak mahu melawat kawasan Telawi terutamanya keluarga.
“Mereka bimbang tentang keselamatan selepas berita pergaduhan di kawasan itu,” katanya.
Quay menyatakan bahawa masalah itu tidak akan hilang tanpa penguatkuasaan yang konsisten dan berterusan oleh undang-undang.
Beliau berkata apa yang mereka mahukan ialah penguatkuasaan sewajarnya dan semua orang mempunyai lesen serta mengikut waktu buka dan tutup, tiada pencemaran bunyi, tempat letak kereta berbahaya dan pergaduhan.
“Kita difahamkan pihak berkuasa sudah melakukan serbuan tetapi apa yang berlaku setakat ini?
“Kami hanya mahu penguatkuasaan yang lebih baik dan semua orang mematuhi peraturan. Jika mereka (kedai) sepatutnya ditutup pada jam 2 pagi maka mereka harus berbuat demikian. Tidak beroperasi sehingga 3 pagi atau lebih lewat,” katanya.
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil melawat kawasan itu baru-baru ini susulan rakaman video pergaduhan mulut antara pengunjung kelab malam.
Dia juga melihat video lebih daripada 100 orang yang ditangkap di tempat sesak di mana penjarakan sosial tidak dipatuhi.
“Kami dah melihat pergaduhan, malah kematian. Ruang yang sesak adalah ancaman Covid-19. Ini mesti dihentikan,” tulis Fahmi di Twitter.
Dalam hantaran lain di Twitter Fahmi berkata beberapa pergaduhan itu disebabkan oleh alkohol dan ini diakui oleh pemilik kelab.
“Tetapi ahli Parlimen PKR itu juga menambah bahawa “kebanyakan (kedai) baik-baik sahaja tanpa masalah serius,” katanya sambil menambah bahawa kerana masalah yang disebabkan oleh segelintir pihak, seluruh kawasan itu terkena tempias.
Pada Mac tahun lalu seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah dalam satu pergaduhan di Jalan Telawi 3.
Fahmi juga bersetuju bahawa ramai penduduk merasakan kawasan Bangsar Baru tidak lagi selamat. – 14 April, 2022.
Komen