Pekhidmat Indonesia dibayar ikut kadar gaji minimum negara masa ini, kata menteri 


Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata perkara itu adalah antara yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman Berhubung Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia di Malaysia.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2022.

GAJI bagi pekhidmat domestik Indonesia akan dibayar tidak kurang daripada gaji minimum yang sedang terpakai di negara ini, kata Menteri Sumber Manusia M. Saravanan.

Beliau berkata perkara itu adalah antara yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman Berhubung Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia di Malaysia yang ditandatangani pada 1 April 2022.

“Saya berharap tiada lagi kekeliruan yang timbul berkaitan dengan gaji bagi pekhidmat domestik Indonesia selepas ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. Kadar gaji minimum pada masa ini adalah RM1,200.

Pada 19 Mac lepas kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara mulai 1 Mei ini.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno 2021, dengan ia akan berkuat kuasa terlebih dahulu membabitkan syarikat-syarikat besar dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). – Bernama, 13 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen