BEKAS ketua pegawai eksekutif Astro Malaysia Rohana Rozhan belum menyatakan persetujuan untuk menyerahkan semula wang AS$10 juta yang berpunca dari 1MDB, kata agensi antirasuah.
Sumber agensi itu berkata, rundingan sedang dijalankan dengan peguam Rohana bagi mendapatkan wang yang didakwa diperolehi melalui bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner.
“Namun, sehingga ke hari ini, Rohana belum setuju lagi. Siasatan masih dijalankan dan kami sedang giat mendapatkan wang yang diperolehinya daripada Leissner yang menggunakan dana 1MDB,” katanya.
Sumber berkata demikian bagi menjelaskan satu laporan Utusan Malaysia yang mendakwa Rohana secara dasarnya bersetuju menyerahkan semula wang AS$10 juta yang diberikan oleh Leissner.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menambah, proses berkenaan tidak akan mengambil masa lama melainkan wang itu perlu dibawa balik dari United Kingdom.
Leissner dalam keterangan di mahkamah New York mengakui memberi wang AS$10 juta itu kepada Rohana yang kemudian membeli rumah bernilai AS$7 juta di Montpelier Street, London.
Keterangan saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng itu mendorong SPRM mengambil keterangan daripada Rohana, Februari lalu.
Susulan itu, Rohana menyatakan kesediaan untuk membantu pihak berkuasa dan SPRM dalam siasatan kes itu.
SPRM memaklumkan bahawa kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.
Harta tersebut dan juga nama Rohana disebut oleh Leissner yang mendakwa mereka mempunyai hubungan sejak 2003 hingga 2013 dan berakhir apabila dia berkahwin dengan selebriti Kimora Lee.
Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang anti-rasuah AS dan konspirasi pengubahan wang. – 13 April, 2022.
Komen