KERJA-KERJA pembinaan cerucuk, tanah, jambatan dan terowong bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 28.57%, setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Darwis Abdul Razak berkata peratusan itu merangkumi kerja-kerja pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Katanya, secara keseluruhan projek ECRL sepanjang 665km berjalan baik serta berada di landasan yang tepat untuk siap sepenuhnya pada Disember 2026.
“Secara keseluruhan kita tidak hadapi banyak masalah, alhamdulillah banyak isu telah diselesaikan dengan kerjasama yang baik daripada semua pihak khususnya kerajaan negeri yang terlibat.
“Bagi Kelantan jajaran ECRL ialah 43.86 km, kemajuan kerja-kerja insfrastruktur sudah mencapai 21.58% dan Alhamdulillah proses pengambilan tanah untuk jajaran utama telah selesai sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media, di Kota Baru, malam tadi.
Mengulas lanjut, Darwis berkata kerja-kerja pembinaan Terowong Genting sepanjang 16.39km dari Pahang ke Selangor akan bermula bulan depan.
“Proses pengorekan Terowong Genting membabitkan 10km di Pahang dan enam kilometer di Selangor dijangka mengambil masa dua setengah tahun dengan kadar produktiviti lebih kurang antara 400 hingga 600 meter sebulan,” katanya.
Darwis berkata projek ECRL yang bakal mewujudkan sistem pengangkutan lebih baik, canggih dan moden di negeri Pantai Timur dijangka mula beroperasi pada Januari 2027.
“Sasaran penumpang ialah 5.6 juta setahun, setiap perjalanan membabitkan enam gerabak mampu memuatkan 440 penumpang.
“Bagaimanapun harga tiket belum diputuskan, ia bergantung kepada kerajaan,” katanya. – Bernama, 13 April, 2022.
Komen