KADAR kelulusan yang rendah bagi permohonan pekerja asing menimbulkan kekesalan majikan ketika mereka bergelut dengan pemulihan ekonomi pasca wabak.
Pemilik perniagaan yang bercakap dengan The Malaysian Insight berkata mereka bingung dengan kelulusan daripada hampir 500,000 permohonan.
Mereka berkata tanpa tenaga kerja, mereka bergelut untuk memulihkan perniagaan selepas terjejas oleh pandemik selama dua tahun.
Presiden Pertubuhan Peruncit Bumiputera Ameer Ali Mydin berkata beliau tidak tahu apa yang sedang berlaku.
“Semua sektor, runcit, F&B, pasar raya dan pasar raya besar kekurangan pekerja sebanyak 40%.
“Kami semua sudah memohon pekerja asing dan tiada seorang pun daripada kami mendapat kelulusan.
“Kenapa lama sangat? Kami tidak faham. Lebih 400,000 majikan meminta pekerja tetapi sangat sedikit yang mendapat kelulusan. Mengapa kerajaan mengambil masa yang lama?
“Kerajaan perlu sedar mengenainya,” kata Ameer sambil menambah yang menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 tidak akan menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja kerana penduduk tempatan tidak berminat kepada kerja sebagai buruh kasar.
Pengarah Urusan Kumpulan Mydin berkata ada individu sanggup bekerja di pejabat dengan bayaran RM1,500 tetapi tiada kekosongan.
Beliau berkata syarikatnya mempunyai lebih 50 kekosongan jawatan untuk juruwang dan pekerja gudang tetapi tiada permohonan.
“Apabila penduduk tempatan tidak mahu melakukan kerja, kami tidak boleh memaksa. Jadi, ia adalah tanggungjawab kerajaan.
“Jika kerajaan mahu rakyat gembira, perniagaan dan negara maju, luluskan buruh warga asing yang mencukupi dalam semua sektor, bukan hanya F&B dan perladangan.”
Ameer juga menegaskan dengan pembukaan semula sempadan dan langkah saringan tidak lagi terpakai, kerajaan tidak sepatutnya mengambil masa yang lama untuk memproses permohonan itu.
Beliau berkata kerajaan perlu melihat ke arah membenarkan pekerja yang mempunyai visa tamat tempoh pulang dahulu.
Juga tiada sebab untuk kerajaan mengehadkan jumlah permohonan yang dikemukakan, katanya.
Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata kementerian menerima 475,678 permohonan pengambilan pekerja asing setakat 1 April.
Beliau berkata sektor pembuatan (290,248 permohonan) paling popular, diikuti perkhidmatan (77,000), perladangan (53,854), pembinaan (43,519), pertanian (11,037), dan perlombongan dan kuari (20).
Saravanan berkata permohonan itu sedang diproses dan sehingga kini kementerian sudah memberi kelulusan bagi pengambilan 2,605 pekerja dalam sektor pembuatan dan perladangan.
Permohonan untuk pengambilan dibuka pada 15 Februari.
Pinjam pekerja
Tony Khoo, presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Perak berkata kekurangan pekerja dalam sektor pembinaan sekian lama menjadi masalah.
Khoo berkata ketika kerajaan menggesa lebih banyak rumah mampu milik semasa harga bahan mentah melambung tinggi, ia tidak menyediakan pekerja yang mencukupi kepada sektor itu.
Sementara itu, pekerja baharu yang menyertai sektor itu memerlukan latihan, katanya.
“Kerajaan mahu mengawal harga rumah dan menggalakkan kami membina rumah mampu milik tetapi bahan mentah mahal dan pemaju disaman oleh pemilik rumah kerana kelewatan menyiapkan projek.”
Keperluan kerajaan bagi kuarters berpusat di tapak pembinaan juga sukar dipenuhi bagi pemaju kecil, katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu memberi tempoh penangguhan dua tahun kepada sektor itu untuk pulih sepenuhnya, yang boleh digunakan untuk menambah baik faedah pekerja.
“Kami bersedia mematuhi peraturan dan seruan organisasi hak asasi manusia, tetapi mereka juga harus bersimpati dengan kesusahan kami.
“Tapak pembinaan terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, serta Kementerian Kerja Raya.
“Sebarang ketidakpatuhan akan menyebabkan tapak projek ditutup dan denda RM50,000 hingga RM100,000 dikenakan. Bagaimana kami hendak bertahan?”
Jika masalah kekurangan pekerja berterusan, Khoo berkata mereka terpaksa meminjam pekerja dari tapak pembinaan lain.
“Kami kini bekerja dengan tenaga kerja sedia ada. Jika kita tidak mempunyai pekerja mencukupi, kita akan meminjam daripada orang lain dan mengupah mereka dengan gaji lebih tinggi.
“Kami bukan seperti sektor minyak sawit yang menguntungkan. Kami tiada kerja tetapi gaji naik sehingga RM120 hingga RM160 sehari.”
Selamatkan syarikat dahulu
Presiden Majlis Perabot Malaysia Khoo Yeow Chong berkata mereka tidak menerima sebarang tempahan baharu kerana tempahan sedia ada sudah tertangguh selama enam bulan hingga setahun.
“Memandangkan kami terpaksa melanjutkan tarikh penghantaran, sesetengah pelanggan beralih kepada pengeluar lain di luar negara.
“Kilang besar masih boleh bertahan, tetapi perniagaan kecil tidak dapat meneruskannya dengan kekurangan tenaga kerja.
“Kami mempunyai tempahan tetapi tidak mempunyai pekerja yang mencukupi. Kami sudah mengiklankan jawatan kosong selama lebih daripada setahun tetapi tiada siapa yang memohon.”
Kilang Khoo pada mulanya menggajikan 200 pekerja asing, tetapi kini ia mempunyai kurang 40 orang, memberi tekanan kepada sasaran penghantaran.
Khoo berkata majikan sanggup membina tempat tinggal berpusat untuk pekerja asing tetapi pemulihan ekonomi perlu diberi keutamaan.
“Semua keperluan baharu boleh dilaksanakan secara perlahan-lahan. Kami bukan sahaja menghadapi kekurangan pekerja, tetapi peningkatan kos pengangkutan dan bahan mentah mendorong sektor ini ke jurang.”
Khoo berkata sektor perabot juga tidak memenuhi keperluan untuk revolusi perindustrian 4.0. – 13 April, 2022.
Komen