DUA diplomat Malaysia yang dipanggil pulang tidak seharusnya dipersalahkan sepenuhnya berhubung isu kegagalan penyelarasan urusan pentadbiran dan logistik semasa lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lepas, kata Mohamed Khaled Nordin.
Naib presiden Umno itu sebaliknya berkata Menteri Luar Saifuddin Abdullah perlu memikul tanggungjawab sambil menambah menyalahkan dua diplomat itu adalah sangat tidak profesional.
“Menyalahkan segalanya kepada diplomat kita adalah sangat tidak profesional. Menteri Luar Negara harus mengambil tanggungjawab terhadap semua yang berlaku.
“Beliau lupa bahawa, beliaulah yang memimpin Wisma Putra,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Semalam Wisma Putra berkata dua diplomat kanannya dipanggil semula kerana mereka gagal menyelaraskan urusan pentadbiran dan logistik untuk lawatan Ismail ke UAE bulan lepas.
Dalam satu kenyataan ia berkata tindakan diambil kerana dua pegawai itu gagal menyusun kedatangan perdana menteri, yang sepatutnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi lawatan peringkat tinggi negara di luar negeri pada 29 Mac.
Khaled yang merupakan bekas menteri besar Johor berkata apa yang berlaku semasa lawatan perdana menteri ke UAE adalah sesuatu yang sangat dikesali.
“Wisma Putra gagal memastikan beliau diberikan penghormatan sesuai dengan kedudukan beliau sebagai pemimpin utama negara dan pemimpin penting sebuah negara Islam.
“UAE adalah negara yang sangat meraikan tetamu dan sudah pasti, jika kita menggunakan segala sumber dan kekuatan jaringan persahabatan kita dengan mereka, perkara yang berlaku itu tidak akan terjadi,” katanya.
Khaled menyifatkan kegagalan Wisma Putra untuk merancang dan menguruskan lawatan penting itu sebagai “sangat memalukan”. – 12 April, 2022.
Komen