Kementerian Luar buat laporan polis berhubung rakaman audio tular


Ravin Palanisamy

Rakaman audio yang tular di media sosial mendakwa Kementerian Luar Negeri berdepan pelbagai masalah di bawah Saifuddin Abdullah.– Gambar Facebook, 12 April, 2022.

KEMENTERIAN Luar Negeri telah membuat laporan polis dan memulakan siasatan dalaman berhubung klip audio yang tular di media sosial sejak Ahad lalu.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata ia memandang serius dakwaan tidak berasas dalam rakaman itu dan laporan polis dibuat serta siasatan dalaman dimulakan untuk melindungi kepentingan dan imej kementerian.

“Kementerian Luar Negeri ingin merujuk kepada klip audio yang tular di media sosial baru-baru ini berhubung seorang individu lelaki yang membuat dakwaan kepada individu yang mempunyai gelaran “Datin” mengenai perkara di Kementerian Luar.

“Kementerian Luar memandang serius dakwaan tidak berasas dalam audio tular itu, yang bertujuan menimbulkan kekeliruan demi kepentingan pihak tertentu.

“Oleh itu, siasatan dalaman sedang dijalankan dan laporan polis telah dibuat untuk melindungi kepentingan dan imej Kementerian Luar Negeri,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kandungan klip audio yang tular di media sosial sejak Ahad, kononnya perbualan antara seorang pegawai Kementerian Luar lelaki yang tidak dikenali dan seorang “Datin” yang biasa dengan urusan kementerian.

Antara lain, suara lelaki itu mengeluh bahawa kakitangan Kementerian Luar menghadapi banyak masalah di bawah Menteri Luar Saifuddin Abdullah, termasuk perlu mengisi “minimum 33 kekosongan” kerana kematian, persaraan atau sebab lain dalam misi Malaysia di luar negara.

Suara lelaki dalam audio itu juga merujuk kepada arahan pulang yang dikeluarkan terhadap dua diplomat kanan Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu, mengesahkan laporan Free Malaysia Today. – 12 April, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen