INDIVIDU penting kes kerugian berbilion ringgit dalam perdagangan pertukaran mata wang asing di Bank Negara Malaysia (BNM) dua dekad lalu akhirnya akan membuka rahsia yang selama ini menyelubungi skandal itu.
Sumber kerajaan memberitahu The Malaysian Insight yang Nor Mohamed Yakcop dipanggil menghadap pasukan petugas khas siasatan kes itu hari ini.
Sebagai pemegang peranan utama di jabatan forex bank pusat itu pada tahun-tahun berkenaan, beliau akan dapat menjawab soalan seperti berikut:
* kenapa BNM berjudi secara agresif dalam pasaran wang?
* kenapa dan bagaimana kerugian itu berlaku?
* siapa pegawai dalam BNM dan pentadbiran Mahathir yang tahu mengenai perdagangan forex?
* berapa banyak kerugian BNM?
Terdapat terlalu banyak spekulasi dan sindiran mengenai kerugian mata wang asing itu sejak awal 1990-an tetapi kerajaan enggan mengadakan suruhanjaya diraja atau mendedahkan dapatan kes itu kepada umum.
Skandal itu mendapat nafas baharu apabila bekas penolong gabenor Abdul Murad Khalid mendakwa kerugian bank pusat itu dalam perdagangan forex AS$10 bilion.
Pendedahannya dalam akhbar milik kerajaan tidak lama kemudian dipanjangkan pula oleh ahli politik Umno dan blogger pro kerajaan sebagai petanda pentadbiran Dr Mahathir Mohamad menutup skandal berkenaan.
Kemarahan mereka terhadap bekas perdana menteri itu berpunca daripada kritikannya terhadap pentadbiran Najib Razak kerana menutup skandal 1MDB, syarikat pelaburan negara yang berdepan hutang terbesar dalam sejarah.
Pada Februari, kerajaan mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas itu. Ia diberi masa tiga bulan untuk mencari sama ada berlaku tindakan menutup kerugian itu dan jika ada kenyataan yang mengelirukan diberi kepada Parlimen berhubung kes itu.
Nor Mohamed meletak jawatan dari BNM selepas kerugian forex itu terdedah dan tidak menonjolkan diri selama bertahun-tahun.
Beliau kembali ke jawatan dalam kerajaan selepas krisis kewangan 1997 apabila Dr Mahathir minta bantuannya merangka kawalan mata wang asing yang menjunam di seluruh dunia tetapi kemudian menerima langkah dasar utama yang mencegah krisis sosial dan kesukaran dialami beberapa negara Asia lain.
Beliau berkhidmat sebagai menteri dalam pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi sebelum dilantik sebagai timbalan pengerusi Khazanah Nasional Berhad.
Beliau juga dikenali dalam lingkungan kerajaan sebagai individu yang memupuk dan memberi tunjuk ajar kepada peneraju syarikat berkaitan kerajaan seperti Shahril Ridza Ridzuan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Abdul Rahman Ahmad di PNB, Mohd Bakke Salleh di Sime Darby, Azman Mokhtar di Khazanah Nasional dan beberapa tokoh korporat Melayu yang lain.
Tetapi kerugian perdagangan mata wang asing itu terus menghantuinya dan selama bertahun-tahun ini, bila seseorang membangkitkan kes itu, tidak dapat tidak namanya akan muncul.
Hari ini akan memberi peluang kepadanya menjelaskan apa yang berlaku dan menyingkirkan episod itu daripada hidupnya yang selama ini mencengkam dirinya.
Rakannya berkata bekas menteri itu tidak mungkin melencongkan salah kepada orang lain. Dia juga tidak berminat untuk mendapat markah dalam politik. – 26 Mei, 2017.
Komen