Guan Eng gesa Putrajaya lanjut moratorium pinjaman 6 bulan lagi


Ravin Palanisamy

Pengerusi DAP Lim Guan Eng menggesa kerajaan melanjutkan lagi enam bulan moratorium dan penepian kadar faedah susulan langkah Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK, selain kesan ekonomi akibat konflik di Ukraine. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2022.

PUTRAJAYA perlu melanjutkan sekali lagi moratorium pinjaman bank dan penepian kadar faedah kepada individu dan komuniti perniagaan untuk enam bulan lagi berikutan pertumbuhan ekonomi yang merosot tahun ini, kata Lim Guan Eng.

Pengerusi DAP berkata individu dan perniagaan akan terjejas untuk bayar pinjaman mereka susulan penurunan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) oleh Bank Dunia minggu lepas selain kesan ekonomi akibat konflik Rusia-Ukraine.

“Implikasi ekonomi ini berkisar pada prospek pekerjaan yang lebih rendah dengan gaji yang lebih baik dan kos sara hidup yang lebih tinggi.

“Kos sara hidup yang lebih tinggi berlanjutan dengan kos bahan input untuk perniagaan yang meningkat. Ia telah bagi tekanan terhadap kedudukan tunai mereka, yang hanya akan diburukkan lagi akibat kekurangan dan gangguan bekalan susulan perang berterusan di Ukraine.

“Atas sebab ini, kerajaan harus ambil kira permintaan individu dan komuniti perniagaan untuk lanjutkan penepian kadar faedah dan moratorium pinjaman bank yang berakhir pada 31 Mac 2022 ini,” kata ahli Parlimen Bagan itu.

Minggu lalu, dilaporkan Bank Dunia telah menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK negara untuk 2022 kepada 5.5 peratus, daripada 5.8 peratus sebelumnya.

Pakar ekonomi kanan Bank Dunia negara Shakira Teh Sharifuddin berkata semakan penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh perkembangan yang berlaku sekitar krisis Ukraine.

Lim, bekas menteri kewangan, berkata industri, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) masih cuba pulih daripada dasar ekonomi yang gagal dan sekatan pergerakan bersiri.

Beliau berkata, kerajaan perlu membantu komuniti perniagaan untuk mengharungi kos yang meningkat ditambah dengan pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah daripada jangkaan dengan melanjutkan moratorium pinjaman bank dan pengecualian kadar faedah selama enam bulan lagi.

Beliau juga berkata industri perbankan mampu memberikan pelepasan itu memandangkan mereka telah memperoleh keuntungan sebelum cukai yang tinggi walaupun semasa pandemik Covid-19.

“Walaupun menanggung kos moratorium pinjaman semasa siri pertama jumlah sekatan yang menelan belanja RM6.4 bilion pada 2020, industri perbankan masih mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang sihat sebanyak RM28.5 bilion.

“Untuk 2021, bukan sahaja terdapat moratorium pinjaman enam bulan dengan kos RM6.4 bilion, ditambah pula dengan penepian kadar faedah untuk 50 peratus penduduk termiskin yang membebankan bank melebihi RM1 bilion, namun keuntungan sebelum cukai industri perbankan masih meningkat kepada RM33.7 bilion

“Jelas sekali, menanggung kos moratorium pinjaman dan pengecualian kos faedah tidak menjejaskan keuntungan bank, namun bantuan dan pelepasan yang amat diperlukan daripada moratorium pinjaman dan penepian kadar faedah akan membantu individu dan perniagaan, terutamanya PKS, untuk membolehkan mereka pulih daripada Covid-19 dan mengatasi kemelesetan ekonomi semasa,” katanya. – 12 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen