Pengiktirafan status Melanau isteri Taib ancam hak peribumi Sarawak


Bede Hong

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud bersama isterinya, Ragad Kurdi Taib. Pengiktirafan status Melanau kepada Ragad mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk asal Sarawak. – Gambar Instagram, 13 Februari, 2018.

PENGIKTIRAFAN isteri gabenor Sarawak keturunan Lubnan, Ragad Kurdi Taib, sebagai etnik Melanau, menyebabkan kekusutan perundangan yang mungkin mempunyai kesan jangka panjang terhadap hak peribumi, kata peguam hartanah.

Ketidakpuasan hati itu timbul daripada kemarahan sekiam lama di kalangan penduduk Sarawak berhubung penafian hak tanah adat mereka dan kelewatan kelulusan mendapatkan kad pengenalan atau kewarganegaraan bagi mereka yang dilahirkan di Sarawak tanpa kerakyatan atau dokumen pengenalan diri.

“Kita boleh mengubah kerakyatan tetapi tidak dapat mengubah darah yang mengalir dalam diri yang merupakan etnik mereka,” kata peguam dari Sarawak, Athina Klaywa Sim (gambar kiri).

“Ia salah di sisi undang-undang. Dan ia boleh menjadi ikutan. Jadi, adakah ia mudah bagi orang lain melakukan perkara yang sama? Bagaimana pula dengan perlindungan dan keistimewaan peribumi?” kata Sim, yang merupakan penasihat undang-undang Wanita PKR negeri.

Sim berkata langkah itu menyebabkan “perbalahan besar” di kalangan penduduk asal yang bimbang satu contoh sudah dibuat bagi kelahiran warga asing di Sarawak untuk mendapatkan akses ke atas hak tanah asal.

“Ia nyata mencemarkan kesucian hak penduduk asal kami. Malah penduduk tempatan kita sendiri, daripada keturunan bercampur, tidak semudah itu mendapatkan status penduduk asal. Kerakyatan dan etnik adalah dua perkara yang berbeza.

“Lebih teruk lagi, kedua-dua anaknya tidak dilahirkan di sini. Status asal datang daripada keturunan, selain mengamalkan budaya penduduk asal dan bercakap bahasa ibunda. Walaupun Ragad atau anak-anaknya boleh bercakap Melanau sekarang, ia masih tidak menjadikan mereka sebahagian daripada komuniti itu. Bolehkah mereka bercakap beberapa patah perkataan?

“Dan sebab utama saya menyentuh mengenai anak-anak itu kerana keturunan mereka akan mewarisi status itu, walaupun mereka berkahwin dengan warga asing. Ia tidak adil dan berat sebelah terhadap penduduk peribumi,” kata Sim.

Ragad yang dilahirkan di Syria, bersama dua anaknya daripada perkahwinan terdahulu, diiktiraf sebagai Bumiputera dan orang asal, mengikuti suaminya, Gabenor Abdul Taib Mahmud, 82, yang merupakan seorang Melanau.

Status mereka diwartakan pada November dan laporan Sarawak Gazette baru-baru ini menjadi tular di media sosial, menggemparkan orang asal.

Sebagai Melanau, mereka kini dibenarkan memegang tanah hak milik asli.

Ragad dan anaknya dijadikan Melanau di bawah Seksyen 20 Ordinan Mahkamah Anak Negeri dan peraturan 17F Kaedah Mahkamah Anak Negeri 1993.

Ordinan Anak Negeri Sarawak menydiakan peruntukan kepada pemohon yang berhasrat untuk bersama dengan mana-mana komuniti asal di Sarawak untuk berbuat demikian tetapi dengan prasyarat tertentu.

Antara syarat diperlukan adalah kemampuan bertutur bahasa asal dan pengetahuan tentang adat dan tradisi masyarakat itu.

Ramai yang menunggu

Kelulusan segera status Bumiputera diperolehi Ragad, yang berkahwin dengan Taib pada 2010 ketika beliau menjadi ketua menteri Sarawak, adalah “kejutan” kepada semua pemohon yang menunggu untuk diberikan status penduduk asal.

Para pemohon biasanya bukan orang asal yang berkahwin dengan orang asal Sarawak.

“Ramai yang berjaya pada masa lalu dan sebaik sahaja permohonan mereka dibenarkan, mereka dianggap penduduk asal bagi semua perkara dan tujuan,” kata pemimpin PKR negeri Baru Bian.

“Saya dimaklumkan sejak bertahun dahulu yang saluran ini dibekukan oleh arahan dari atas. Banyak permohonan ditangguhkan tanpa sebarang petunjuk seandainya permohonan mereka sudah didengar,” kata peguam hak milik tanah dan Ketua PKR Sarawak, Baru Bian.

Beliau berkata pelbagai persoalan dibangkitkan mengenai tahap kecepatan proses kelulusan, sama ada Ragad dan anak-anaknya memenuhi prasyarat di bawah peraturan dan sama ada kedua-dua anak itu harus diberikan status penduduk asal juga.

“Pada luarannya memang tidak adil kepada ramai yang menunggu selama bertahun-tahun untuk permohonan mereka didengar dan masih menunggu. Nampaknya terdapat ketidakadilan terhadap orang biasa berbanding mereka yang mempunyai kuasa di kalangan kita.

“Saya tidak menyalahkan mereka atas keraguan terhadap kes ini,” kata Baru.

Adun Ba’Kelalan itu juga berkata terdapat pemohon yang sudah berabad lamanya menanti untuk mendapatkan kelulusan bagi kad pengenalan diri atau kewarganegaraan mereka.

“Mereka datang dengan keikhlasan tetapi disebabkan keadaan yang tidak diduga, tidak dapat membuat permohonan lebih awal. Nmun secara sah, Ragad dapat memiliki tanah asli berdasarkan statusnya sekarang, dan juga dua anaknya.

Kes ujian

PKR Sarawak bercadang melancarkan kes ujian dengan menggunakan Ragad sebagai contoh mereka yang masih menunggu keputusan permohonan untuk diiktiraf sebagai orang asal.

Timbalan Ketua Pemuda PKR negeri Simon Siah berkata kes Ragad boleh menunjukkan yang warganegara walaupun tanpa kaitan darah boleh menjadi orang asal dan tidak perlu belajar bahasa, gaya hidup dan tradisi etnik lain yang diingininya.

Di bawah Seksyen 8 Kanun Tanah Negeri, mana-mana orang yang bukan berasal dari Sarawak tidak boleh memperoleh hak ke atas mana-mana kawasan tanah asal atau tanah adat.

“Bagi orang Melayu, termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan bahawa sesiapa yang boleh berbahasa Melayu, mengamalkan budaya orang Melayu dianggap sebagai orang Melayu,” kata Siah.

“Tetapi untuk dianggap sebagai Melanau, itu lebih jauh. Etnik asli dikenal pasti melalui keturunan, bukan melalui perkahwinan.”

Siah, aktivis hak asasi manusia dan peguam hak tanah berkata, beliau mungkin mewakili satu kumpulan yang ingin diiktiraf sebagai orang asal, dan menggunakan pengiktirafan Ragad sebagai sebahagian daripada kes ujian hipotetikal di mahkamah sivil.

“Kami akan membawa beberapa pemohon ini ke mahkamah dan berusaha untuk mencabar penangguhan yang begitu lama bagi permohonan itu.”

“Terdapat ribuan warga Sarawak yang cuba memperolehi pengiktirafan identiti mereka di mahkamah adat yang masih menunggu sehingga hari ini.”

Siah berkata kes Ragad menentang “tujuan utama” memiliki hak tanah dan adat penduduk asal seperti yang diperuntukkan di bawah Kanun Tanah Sarawak.

“Undang-undang itu adalah untuk melindungi penduduk peribumi Sarawak daripada tanah mereka diambil oleh orang asing.”

Melanau membentuk 5%, atau 132,600 orang penduduk Sarawak.

Ragad juga merupakan pengundi berdaftar bagi kerusi DUN Pantai Damai dan kerusi Parlimen Santubong. – 13 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen