Bahasa Indonesia lebih berhak daripada Bahasa Melayu


Faisal Tehrani

Tidak mungkin Indonesia mengundur mengambil bahasa Melayu sebelum kedatangan Barat. Selepas pemergian Belanda, bahasa Melayu mahawangsa itu diserap pelbagai bahasa lain dan dominan Jawanya. – Gambar EPA, 12 April, 2022.

SEBENARNYA Indonesia berhak saja menolak usaha atau pelawaan Malaysia mempromosi Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa. Indonesia tidak terbeban atau bertanggungjawab apa pun ke atas bahasa Melayu ini. Meskipun akarnya sama, seperti yang dihujahkan Profesor Nik Safiah Karim.

Profesor emeritus yang dihormati itu berhujah usaha promosi ini adalah untuk “bahasa Melayu supra atau bahasa Melayu mahawangsa meliputi wilayah sejarah lampau Alam Melayu yang juga dirujuk Nusantara, sebelum kedatangan penjajah Barat”.

Kita semua tahu hujah Nik Safiah itu rapuh.

Tidak mungkin lagi Indonesia mengundur mengambil bahasa Melayu sebelum kedatangan Barat (dalam konteks Indonesia adalah Belanda). Selepas pemergian Belanda, bahasa Melayu mahawangsa itu sudah diserap pelbagai bahasa lain dan begitu dominan Jawanya.

Bahasa Jawa bukan bahasa Melayu, ia berbeza. Hal yang sama terjadi terhadap bahasa Melayu yang sungguh diInggeriskan dan dikhatankan (diIslamkan) oleh Syed Naquib Al-Attas, selepas beredarnya British.

Bahasa hendaklah tumbuh dari bawah. Ia harus disedari cantik dan dipupuk disayang oleh masyarakat. Bahasa mekar dari bawah naik ke atas. Bukan dipaksakan dari atas oleh pemerintah kepada rakyat untuk menutup kegagalan seorang menteri sains menguasai bahasa Inggeris.

Begitu sukarnya mengangkat bahasa Melayu untuk menjadi bahasa Asean atau bertaraf United Nations sekalipun, kerana masakan ia dapat terjadi pada saat lebih ramai orang Kubang Krian mahir atau selesa berbahasa Inggeris daripada berbahasa Melayu. Atau lebih ramai menguasai bahasa Mandarin berbanding bahasa kebangsaan ini.

Pemerintah Malaysia yang ingin membaja bahasa Melayu ini jugalah yang menyuburkan bahasa Inggeris (ya, PPSMI), atau membiarkan bercendawannya sekolah vernakular.

Dan ya, pemerintah Malaysia yang ingin membaja bahasa Melayu ini jugalah yang mengehadkan penggunaan kalimah tertentu dalam bahasa Melayu berkait ketuhanan dan keagamaan kerana terkeliru bahasa Melayu itu boleh diIslamkan.

Kalau katakan bahasa Melayu ini sudah terangkat ke peringkat dunia, lantas disahut di Amerika Syarikat dan kelak Jada Pinkett Smith nanti ingin merujuk tuhan sebagai Allah, adakah kita akan porak peranda mengedit dan berbalas debat apakah T pada tuhan itu huruf besar atau huruf kecil?

Bahasa Melayu kita misalnya ada perbendaharaan yang kaya untuk merujuk berbuka puasa iaitu sungkai, tetapi semua Melayu sudah dikacuk Arab dan memilih iftar. Kata sembahyang sudah terganti solat, dan banyak lagi contoh lain.

Maka apabila kita ingin kembali kepada Melayu mahawangsa, seperti disaran Nik Safiah ini, adakah ia bermakna kita akan membiarkan penganut Buddha Hindu menggunakan kata beriman untuk merujuk kepercayaan kepada dewa tertentu?

Kerana Melayu mahawangsa sebelum tibanya penjajah Barat memang begitu, bahkan Melayu mahawangsa ini menjadi bahasa pertuturan era Srivijaya yang diketahui bukan beragama Islam.

Jika Ismail Sabri Yaakob dan kerajaannya mahu mempromosikan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa, mereka hendaklah terlebih dahulu membebaskan bahasa ini daripada kekangan dan pancungan tertentu yang menghalang perkembangannya. Sebagai contoh, bahasa tidak dapat berkembang jika ada fatwa menegah kepesatannya.

Penggunaan bahasa Melayu dalam ruang peribadatan orang Kristian sebagai contoh adalah tanda kepesatan. Tetapi itulah terhalang, dan dihakmilikkan jumlah perkataan tertentu dalam bahasa Melayu (yang dipinjam dari bahasa Arab) sebagai hak orang Islam semata. Padahal kata yang sama digunakan orang Arab Kristian yakni pemilik asal pinjaman itu tidak pun dihakpunyakan oleh sesiapa di Timur Tengah.

Jika Ismail Sabri dan kerajaannya mahu mempromosikan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa, mereka hendaklah terlebih dahulu menyelesaikan isu hilangnya pelajar Cina dan India dari sekolah kebangsaan.

Pada zaman saya, yang berusia hujung 40an ini, tatkala kami di sekolah rendah memang ramai murid Cina dan India sama-sama bersekolah dan bertutur dalam bahasa Melayu (atau bahasa Malaysia seperti tertera di atas buku teks). Kami semua berbahasa Melayu dengan baik. Datang Anwar Ibrahim dan Islam-Islamnya, bersama mentornya Al-Attas, pendidikan di sekolah kebangsaan menjadi terbalik.

Jika Ismail Sabri dan kerajaannya mahu mempromosikan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa, mereka hendaklah terlebih dahulu mengiktiraf kerja-kerja penulis bukan Melayu dalam sastera Melayu sebagai setanding dengan karya sufi-sufian Kemala, Zurinah Hassan dan Anwar Ridhwan.

Saya malas menyebut nama pengarang bukan Melayu yang layak sebab untuk meraih posisi Sasterawan Negara pun sebetulnya memadai dengan melalak untuk menagihnya. Tattataraa dapatlah jadi SN.

Jika Ismail Sabri dan kerajaannya mahu mempromosikan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa, mereka hendaklah terlebih dahulu mengasuh calon-calon pilihan raya dari parti mereka yang tidak reti bercakap Melayu, seperti terlihat ketika Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor.

Jika Ismail Sabri dan kerajaannya mahu mempromosikan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa, mereka hendaklah terlebih dahulu mengatasi atau memansuh tuntutan kpi kesarjanaan ilmuan kita di universiti untuk menulis dalam bahasa bukan Melayu di jurnal-jurnal terindeks Scopus memandangkan kebanyakan wadah keilmuan ini dalam bahasa Inggeris.

Bahasa berkembang sekali dengan ilmu, bukan dengan air liur politikus. Jurnal terindeks scopus banyaknya dalam bahasa Inggeris dan bukan Melayu. Apa usaha yang sudah dilakukan untuk membanyakkan jurnal scopus berbahasa Melayu? Cuba tanya Ibu Noraini.

Jadi mahawangsa sangat, jika Ismail Sabri dan kerajaannya mahu mempromosikan bahasa Melayu ke  peringkat antarabangsa, mereka hendaklah terlebih dahulu memejam mata terhadap mantera di kuil atau misa Good Friday di gereja dalam bahasa Melayu. Ini kerana keinginan menjadikan bahasa Melayu bahasa internasional tidak datang tanpa pengorbanan.

Tatkala nanti kumpulan kanan atau mufti rasis memarahi Ismail dan kerajaannya maka mereka hendaklah berhujah yang kita melakukannya kerana ingin memartabatkan bahasa melayu mahawangsa.

Jika Ismail Sabri dan kerajaannya mahu mempromosikan bahasa Melayu ke  peringkat antarabangsa, mereka hendaklah terlebih dahulu memastikan ada karya sastera Melayu terjemahan Inggeris tercalon Man Booker sepertinya karya Eka Kurniawan atau Norman Erikson Pasaribu.

Kerja terjemahan karya sastera datang dengan ketertarikan terhadap bahasa — bukan dengan berhabis duit cukai rakyat membina reruai yang siap dengan acara menggoreng keropok lekor ketika Pesta Buku Frankfurt.

Jika Ismail Sabri dan kerajaannya mahu mempromosikan bahasa Melayu ke  peringkat antarabangsa, mereka hendaklah terlebih dahulu berusaha memastikan semua ahlul Kayangan boleh berbicara dalam bahasa Melayu tanpa pelat Wales atau Scotts.

Kerja untuk menyebarluaskan bahasa bukan hanya dengan menjawab surat rasmi kepada Setiausaha Negara Amerika dalam bahasa Melayu. Atau dengan bertutur di persidangan antarabangsa mengenai persekitaran dalam bahasa Melayu. Tak memadai. Kerja berbahasa kerja besar makan dekad dan kurun.

Betul, kita belum habis bercakap soal Melayu mahawangsa lagi. Bahasa hendaklah tumbuh dari rakyat. Ia harus disedari cantik dan dipupuk disayang oleh orang Malaysia, penuturnya.

Bahasa mekar dari bawah kemudian membiak, memanjat dan membunga kuntum berbau wangi naik ke atas, menebar ke sejagat. Bukan dipaksakan dari atas oleh pemerintah kepada rakyat untuk menutup aib kegagalan seorang menteri sains menguasai bahasa Inggeris.

Biarkan sahajalah Indonesia hendak mempertikaikan bahasa Melayu kerana memang kita sendiri yang belum menghormati bahasa ini, tidak seperti mereka yang betul-betul kukuh memupuk bahasa tersebut.

Kita tidak menabur paku di atas jalan bahasa kemudian memaksakan orang berjalan melindas di atasnya berkaki ayam. – 12 April, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen