17 tawar diri tanding naib presiden PKR


Mohd Farhan Darwis

Setakat 7 petang tadi sekurang-kurangnya 17 orang mendaftar bertanding untuk jawatan naib presiden PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA 17 orang mendaftar untuk bertanding jawatan naib presiden PKR, berdasarkan senarai calon pemilihan Majlis Pimpinan Pusat yang dikeluarkan oleh jawatankuasa pemilihan parti setakat 7 petang tadi.

Pencalonan yang dibuat secara atas talian dan bersemuka di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya dibuka bermula 9 pagi tadi sehingga tengah malam ini.

Antara yang menawarkan diri untuk empat kerusi naib presiden ialah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminudin Harun.

Naib presiden lantikan Chang Lih Kang yang juga Ahli Parlimen Tanjong Malim turut menawarkan diri, selain Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh dan pengarah komunikasi Fahmi Fadzil.

Bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador yang berpindah cabang ke Gombak, Selangor turut mencuba nasib. Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail juga mencalonkan diri bertanding naib presiden.

Bekas naib presiden Mustafa Kamil Ayub yang memegang jawatan semasa penggal 2007 hingga 2010 turut menawarkan diri sekali lagi. 

Tiga lagi ahli parlimen turut mendaftar diri bertanding naib presiden iaitu Chan Ming Kai (Alor Setar), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), dan Abdullah Sani Abdul Hamid (Kapar).

Tujuh lagi yang mahu mencuba nasib ialah wakil rakyat negeri G Manivannan (Adun Hutan Melintang), G Gunarajah (Adun Sentosa), Yek Diew Ching (Adun Chuah), dan R Summugam (Adun Bukit Selambau).

Bekas timbalan pengerusi PKR Perak MA Tinagaran yang pernah menjadi pegawai kepada bekas naib presiden PKR Xavier Jayakumar juga menawarkan diri selain Naib Pemuda AMK, S Thiban.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada bekas naib presiden Nurul Izzah Anwar akan bertanding dalam pemilihan kali ini berikutan beliau masih belum menghantar pencalonan bagi mana-mana jawatan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu letak jawatan politik dan lantikan kerajaan pada Disember 2018.

Anwar calon tunggal presiden

Sementara itu, ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim masih belum dicabar bagi jawatan presiden PKR. 

Setakat pukul 7 petang tadi ketua pembangkang itu masih menjadi calon tunggal bagi pertandingan jawatan berkenaan.

Jawatan timbalan presiden setakat ini adalah antara Rafizi Ramli dan juga Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Bagi jawatan ketua Pemuda PKR dua nama bekas aktivis mahasiswa menghantar pencalonan iaitu Adam Adli Abdul Halim dan Fahmi Zainol.

Manakala jawatan ketua Wanita PKR juga menyaksikan dua pencalonan iaitu Adun Batu Tiga Rodziah Ismail dan peguam Fadhlina Sidek.

Senarai penuh calon yang bertanding akan dimuktamadkan pada 20 April selepas selesai proses bantahan dan rayuan.

Pencalonan bagi 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pula ditangguh ke 28 Mei depan. – 11 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen