BEKAS pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak membatalkan hasrat bertanding jawatan timbalan presiden, sebaliknya memilih untuk mencuba nasib merebut satu daripada empat kerusi naib presiden dalam pemilihan parti, yang dibuka pencalonannya hari ini.
Menurut Farhash, beliau memberi laluan kepada Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail untuk menentang Rafizi Ramli bagi jawatan timbalan presiden.
“Sebenarnya banyak sokongan daripada akar umbi meminta saya pergi ke bertanding jawatan timbalan presiden tetapi macam kenyataan media saya sebelum ini saya bagi laluan kepada Saifuddin Nasution untuk bertanding jawatan timbalan presiden melawan Rafizi Ramli.
“Saya memilih bertanding naib presiden, dan insyallah saya dan rakan-rakan cuba memberikan saingan yang bagus dan kita akan cuba berkhidmat kepada parti dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya selepas menyerahkan borang pencalonan kira-kira pukul 2 petang tadi.
Farhash sebelum ini menyatakan hasrat menentang Rafizi, yang mengumumkan akan bertanding jawatan itu selepas memutuskan untuk kembali aktif berpolitik.
Farhash juga mengesahkan bertanding jawatan ketua Cabang PKR Gombak, yang kini disandang Menteri Besar Selangor Amiruddin Shaari.
Saifuddin yang juga ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu sebelum ini mengumumkan hasrat akan bertanding jawatan timbalan presiden.
Sementara itu, ahli Parlimen Lembah Pantai PKR Fahmi Fadzil menawarkan diri bertanding kerusi naib presiden.
Pengarah komunikasi PKR itu menyerahkan borang pencalonannya di Ibu Pejabat PKR kira-kira pukul 2 petang tadi.
“Saya hadir sebagai pengarah komunikasi PKR, tetapi juga turut memasukkan pencalonan untuk bertanding naib presiden… satu saat yang gementar.
“Saya selalunya mengiringi pimpinan lain tetapi kali ini saya yang diiring,” katanya.
Sekurang-kurangnya enam calon lain mendaftar bertanding kerusi naib presiden antaranya penyandang Chang Lih Kang serta ahli parlimen Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Abdullah Sani Abdul Hamid (Kapar).
Dalam pada itu, Fahmi berharap pengalaman sebagai pengarah komunikasi PKR selama sembilan tahun memberikannya kelebihan.
“Kalau dilihat pola pertandingan naib presiden ramai yang berminat tawarkan diri, ini satu sikap PKR terbuka dan meriah, dan saya lihat memang cabaran ada tapi saya percaya dengan rekod berkhidmat sebagai pengarah komunikasi selama sembilan tahun dan hubungan dengan pimpinan diharap membantu saya dalam meraih sokongan akar umbi.
“Sekiranya dipilih sebagai naib presiden, semestinya yang akan saya usahakan adalah kukuhkan struktur parti dan memastikan segala yang berlaku selepas Langkah Sheraton bukan sahaja dibersihkan tapi dibina lebih baik,” katanya.
Fahmi juga mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Lembah Pantai.
Proses penamaan calon bagi pemilihan PKR hari ini dijalankan secara sesi bersemuka dan atas talian.
Mana-mana ahli parti yang berminat untuk bertanding boleh mengemukakan pencalonan mereka melalui aplikasi Adil yang dibangunkan PKR khusus bagi pemilihan sesi 2022/2025.
Presiden PKR Anwar Ibrahim juga mengesahkan akan mempertahankan jawatannya. – 11 April, 2022.
Komen