Tidak perlu gaduh, ini pertandingan adik-beradik, kata 2 calon ketua Pemuda PKR


Mohd Farhan Darwis

Adam Adli Abdul Halim berkata semua pihak bertanggungjawab untuk memastikan pemilihan PKR berlangsung dengan baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2022.

DUA calon ketua Pemuda PKR mahu pemilihan parti kali ini berjalan atas semangat adik-beradik tanpa sebarang kekecohan seperti sebelum ini.

Adam Adli Abdul Halim yang menawarkan diri untuk jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berharap tiada sebarang pergaduhan pada pemilihan PKR kerana proses itu pun sebenarnya untuk mengukuhkan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Pemilihan kali ini adalah pemilihan adik beradik, pemilihan antara sahabat sendiri, tidak ada nak tunjuk satu puak, ini dua puak dan tiga puak dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas mengemukakan kertas pencalonan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Ditanya mengenai harapannya terhadap proses pemilihan kali ini selepas pemilihan pada hujung 2018 tercemar dengan insiden pergaduhan, Adam berkata semua pihak bertanggungjawab untuk memastikan pemilihan ini berlangsung dengan baik.

“Kita jangkakan pemilihan kali ini Insya-Allah baik. Itu tanggungjawab bersama.

“Kalau kita dah janjikan ini adalah pemilihan yang harmoni bertujuan untuk mengukuhkan organisasi maka kita laksanakan dan semua orang setuju benda yang sama, tidak ada masalah.

“Kalau nak baling kerusi, semua pakai telefon… (lebih baik) baling telefon di rumah sendiri,” tambahnya.

Adam mengemukakan pencalonan bersama barisan pasukannya untuk jawatan tertinggi sayap Pemuda PKR yang menggelarkan diri sebagai “Seangkatan”. Selain Adam sebagai ketua, pasukan itu mengemukakan peguam Muhammad Kamil Abdul Munim sebagai calon timbalan ketua Pemuda.

Bekas aktivis mahasiswa itu juga mengakui beliau bukan calon pilihan berbanding lawannya Fahmi Zainol, yang pernah menjadi exco AMK pada sesi sebelum ini.

“Saya tak melihatnya sebagai sebuah masalah dan sebagainya. Ini peluang untuk masing-masing menonjolkan idea dan pembaikan yang kita nak bawa.

 “Sepanjang tempoh kempen ini adalah peluang kita berkongsi idea, pandangan, pendapat yang membawa kebaikan kepada parti,” katanya.

Fahmi Zainol akan bergandingan dengan Adun Rawang Chua Wei Kiat sebagai timbalannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2022.

Sementara itu, Fahmi hadir ke ibu pejabat PKR kira-kira 12 tengah hari bersama pasukannya untuk menyerahkan borang pencalonan mereka.

Beliau yang juga bekas aktivis mahasiswa bergandingan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang Chua Wei Kiat sebagai timbalannya.

Fahmi juga menekankan pemilihan AMK kali ini adalah satu persaingan sihat dan tidak harus melibatkan insiden keganasan.

 “Ini persaingan sihat, Adam rakan baik aktivis saya, jadi bila kami bila menyatakan hasrat bertanding, ini perlawanan adik-beradik, jadi tiada masalah,” katanya.

Fahmi juga menjelaskan pasukannya akan berkempen antaranya untuk mendekati golongan pengundi muda dan meningkatkan jumlah orang muda dalam parti.

Kumpulannya juga akan menganjurkan siri jelajah kempen ke seluruh negara. – 11 April, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen