KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 8,112 kes baharu semalam, kes harian bawah lima angka sejak Februari.
Kali terakhir angka harian bawah 10,000 dilaporkan pada 5 Februari, iaitu 9,117 kes direkodkan.
Jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 dalam negara kini naik kepada 4,325,818, menurut portal GitHub KKM.
Selangor terus catat jumlah jangkitan harian tertinggi semalam iaitu 4,299 kes, diikuti Kuala Lumpur (708) dan Negeri Sembilan (490).

Semalam juga, sebanyak 12 kematian akibat Covid-19 dilaporkan, berbanding 21 pada Sabtu. Daripada jumlah itu, empat adalah kematian di luar hospital.
Kematian Covid-19 semalam paling tinggi di Sarawak iaitu lima kes, diikuti Perak (2) dan masing-masing satu kes di Johor, Kedah, Kelantan, Selangor serta Kuala Lumpur.
Tiada kes kematian dilaporkan di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Terengganu, Labuan dan Putrajaya.
Sementara itu, seramai 2,811 individu positif Covid-19 dirawat di hospital.
Daripada jumlah tersebut, 174 orang berada di unit rawatan rawatan rapi, dengan 110 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan. – 11 April, 2022.
Komen